Penyandang kerusi Parlimen
Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi isyarat sedia mempertahankan
kerusinya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) walaupun terdapat spekulasi
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengubah angin untuk bertanding di
kawasan tersebut.
Azmin
tidak menamakan individu tersebut yang bakal menjadi pencabarnya pada PRU-15
bagaimanapun secara sinis mengalu-alukan sekiranya PKR mahu meletak isteri atau
anak pemimpin parti itu untuk melawannya di Gombak nanti.
“Ada
orang sudah minat nak datang Gombak, silakan. kita tak takut… nak hantar isteri
pun boleh nak hantar anak pun boleh kalau berani hantar diri sendiri,” katanya
semasa pelancaran jentera pilihan raya Bersatu Selangor hari ini.
Untuk
rekod, Anwar sudah menyatakan hasratnya untuk mencari kerusi Parlimen baharu
pada PRU-15 nanti, beberapa kerusi sudah diintai tetapi setakat ini masih belum
membuat keputusan walaupun terdapat cadangan supaya bertanding di Bagan Datuk
tempat anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Isteri Anwar, Datuk Seri Wan
Azizah Wan Ismail merupakan Ahli Parlimen Pandan, sementara Nurul Izzah Anwar
pula Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas memenangi PRU-14 lalu.
Azmin
yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu menafikan dirinya
sebagai seorang pengkhianat parti sebaliknya beliau dipecat parti.
Dalam
pada itu, Azmin mengungkit kembali episod krisis politik pada 2014 apabila PKR
melancarkan Langkah Kajang dengan hasrat untuk menukar Menteri Besar dengan
meletak Anwar sehingga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lee Chin Cheh
dipaksa berundur.
Pengunduran
ADUN Kajang tersebut diatur bagi memberi laluan untuk Anwar bertanding dan seterusnya
menjadikannya MB Selangor yang baharu memandangkan ketika itu kes Liwat II yang
sedang dihadapinya.
“Saya
nak tanya siapa pengkhianat sebenarnya? Ingat rakyat sudah lupa… Seorang
individu yang bernama CC Lee betul masuk dalam pilihan raya umum secara
demokratik dipilih oleh rakyat diangkat menjadi wakil rakyat DUN Kajang.
“Akhirnya CC Lee diarah oleh manusia dengan rakus ini kamu letak jawatan sebab aku nak bertanding aku nak jadi Menteri Besar Selangor… Apakah ini bukan khianat mandat rakyat?” katanya lagi.