Bersiap-sedia pembubaran Parlimen , kata Setiausaha Agung DAP





 

Spekulasi pembubaran Parlimen akan diumumkan nanti semakin kuat dengan dijangka Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat sidang media khas hari ini.

Malah, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam hantaran di akaun media sosialnya berkata  Parlimen akan dibubarkan dan menggesa jentera parti bersiap-sedia untuk turun menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

“Kini saya dalam perjalanan pulang ke KL untuk bersiap sedia dengan pembubaran Parlimen .

“Lawan tetap lawan! Lawan sampai menang!” kata Loke.

Terdahulu, laporan media juga melaporkan tiada jadual mesyuarat Kabinet pada minggu ini juga sudah dikosongkan, sekaligus memberi isyarat jelas PRU-15 akan berlangsung pada masa terdekat.

Media juga melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada petang tadi dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong itu tanpa disedari media yang seperti biasa akan menunggu di luar pintu pagar Istana Negara kerana kebanyakannya menumpukan kepada sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Memetik laporan, akhbar itu difahamkan perdana menteri permohonan untuk pertemuan itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen, sekali gus membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

“Pembubaran Parlimen mungkin seawal hari ini,” lapor NST memetik sumber sebagai berkata.

Difahamkan juga, Ismail Sabri akan menghantar Yang di-Pertuan Agong yang akan mengadakan lawatan khasnya ke United Kingdom mulai esok hingga 16 Oktober.

Lawatan khas baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke London termasuk mengadakan pertemuan dengan Raja Charles III di Istana Buckingham pada 12 Oktober.

Terdahulu, MalayMail memetik sumber sebagai berkata UMNO akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas malam ini (10 Oktober 2022), tatkala spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan minggu depan semakin bertiup kencang.

“Malam ini, akan ada mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO,” lapor MalayMail memetik sumber ketika dihubungi.

Pertemuan itu dijangka berlangsung selepas mesyuarat biro politik parti yang juga akan diadakan pada sebelah malam.