Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan menjadi Perdana Menteri?
Setakat ini, masih belum ada
mana-mana UMNO Bahagian yang mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi sebagai calon Perdana Menteri Ke-10.
Dalam
laporan media sepanjang Mesyuarat UMNO Bahagian yang sedang berlangsung ketika
ini, nama Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara terbuka
diumumkan sebagai calon PM sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15
(PRU-15) yang bakal diadakan pada masa terdekat.
Untuk
rekod, antara UMNO Bahagian yang mengusulkan nama Ismail Sabri sebagai calon PM
adalah Ketereh, Alor Gajah, Hulu Terengganu, Jelebu dan beberapa bahagian lain.
Langkah
membuat ketetapan dengan usul tersebut dibuat selari dengan pendirian Majlis
Tertinggi UMNO sebelum ini yang mencalonkan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’
bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurut Ketua Bahagian Jelebu,
Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata keputusan itu senada ketetapan yang dibuat
badan tertinggi itu sebelum ini dan ia mendapat sokongan akar umbi parti
tersebut.
“Keputusan
memilih Datuk Seri Ismail Sabri adalah kesinambungan daripada apa yang
diputuskan dalam mesyuarat MKT yang sudah membuat keputusan sebelum ini.
“Ini
keputusan parti yang kemudian disambut oleh akar umbi dalam kita membuat satu
kemuafakatan demi kebaikan UMNO bagi menghadapi PRU kali ini,” katanya lagi.
Bagaimanapun,
media sebelum ini melaporkan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN baru-baru ini tidak
membincangkan berhubung siapa bakal jadi calon PM.
Presiden
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup mengesahkan perkara
itu.
“Calon
Perdana Menteri tiada dibincangkan, kita bincang mengenai manifesto namun ada
beberapa perkara masih belum dimuktamadkan.
“Kami
PBRS masih ada beberapa perkara mahu diketengahkan dan cadangkan,” katanya
dipetik laporan media sebelum ini.
Presiden
MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut mengesahkan tiada perbincangan mengenai
calon PM, sebaliknya tertumpu kepada persiapan menghadapi pilihan raya.
Turut
mengesahkan perkara sama, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
yang memaklumkan calon PM tidak dibincangkan.
Katanya,
perbincangan tertumpu kepada persiapan menghadapi pilihan raya dan manifesto
parti.
“Manifesto
tertumpu kepada kebajikan dan pembelaan rakyat, manakala calon baharu sentiasa
diberikan penekanan berdasarkan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan
Raya Negeri (PRN),” katanya.
Perkembangan
terbaharu ini menimbulkan tanda tanya adakah Ismail Sabri akan dikekalkan
sebagai calon PM atau sebaliknya.
Ismail Sabri baru-baru ini mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga walaupun musim banjir semakin dekat.