Anwar jadi ‘panglima’, ajar pimpinan jangan pilih kawasan selamat, kata Farhash

 


Bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata
 beliau dilantik sebagai pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH)
 bagi Parlimen Tambun.

PETALING JAYA: Keputusan Anwar Ibrahim bertanding di Tambun merupakan langkah “panglima yang mahu menunjukkan cara berperang” dengan bertindak masuk ke kerusi tidak selamat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Katanya, tindakan itu demi ‘mengajar’ pimpinan parti tidak mudah mengambil kerusi selamat semata-mata.

“Sebab kalau jeneral perang tak tunjuk cara nak pergi perang, orang lain tak akan ikut sebab kebiasaannya kepimpinan ini semua nak ambil ‘seat’ (kerusi) selamat sahaja. Alhamdulillah, beliau sudah tunjuk langkah panglima perang, harap itu akan jadi lonjakan PRU kali ini,” lapor Utusan Malaysia.

Pada 20 Okt, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bertanding di Parlimen Tambun ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Ipoh.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Kerusi berkenaan kini disandang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu yang menang di kawasan itu dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ahmad Husni Hanadzlah dan Ibrahim Zakaria dari PAS, pada PRU14.

Farhash yang pernah menjadi pembantu Anwar juga mengesahkan tidak bertanding pada PRU15 kerana mahu menumpukan perhatian sebagai pengarah pilihan raya PH bagi Parlimen Tambun.

“Saya ditawarkan bertanding, tapi saya rasa lebih penting untuk memberi kemenangan kepada Anwar,” katanya.

Mengulas berhubung peluang Anwar di Tambun, beliau berkata, presiden PKR itu adalah nama besar dengan Ahmad Faizal merupakan ‘underdog’.

“Tapi sudah tentunya Anwar adalah nama besar dan Peja (Ahmad Faizal) adalah ‘underdog’. Orang bercakap Anwar bukan orang tempatan, (Ahmad Faizal) buat tagline ‘ayor, ayaq’. Untuk saya, Tambun memilih perdana menteri, bukan memilih Ahli Parlimen,” katanya.

Pada 21 Okt, Ahmad Faizal yang juga menteri belia dan sukan mengumumkan akan mempertahankan kerusi disandangnya itu. Baru-baru ini, beliau juga mengesahkan tidak akan mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang kerana mahu menumpukan perhatian di Parlimen Tambun.