Rakyat Malaysia perlu membuat perubahan dalam Pilihan Raya Umum
(PRU) ke 15 sekiranya mahu melihat sistem pendidikan negara melahirkan generasi
cemerlang, bukannya anak anak berminda 'bongsai'.
Menurut mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ancaman
tindakan yang cuba dikenakan ke atas Cikgu Mohd Fadli Salleh bukanlah perkara
baharu tetapi adalah budaya pentadbiran BN yang menyebabkan mutu pendidikana
negara merudum sejak dua dekad lalu.
Cuma katanya, Cikgu Fadli bernasib baik kerana ketika beliau mahu
dikenakan tindakan parlimen telah pun bubar, di samping beliau mempunyai
pengikut yang banyak di media sosial.
"Cikgu Fadli bernasib baik kerana isu beliau menjelang PRU,
mempunyai ramai follower dan beliau bersuara kepada
umum. Hakikatnya sebelum zaman kita (kerajaan PH) berada di Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM), dahulu ramai yang menerima nasib seperti Cikgu
Fadli, ribuan.
"Saya sendiri sebagai Menteri melihat laporan dari bawah. Orang
dikenakan tindakan tatatertib kerana isu politik, kerana ada orang Umno BN di
Pejabat Pendidikan Daerah, JPN yang menukarkan cikgu itu, ini.
"Jika mereka mengkritik sesetengah pengetua guna sekolah
(salah guna) untuk propaganda parti, mereka langsung dikenakan tindakan. Sebab
itu saya cadangkan kepada mereka yang menerima tindakan tatatertib seperti
Cikgu Fadli, kita tularkan. Perkara ini bukan baru," katanya.
Dr Maszlee juga berkata, kritikan Cikgu Fadli sepatutnya didengar
oleh Kementerian Pendidikan kerana beliau membicarakan keadaan kesukaran guru
guru selepas pandemik Covid, dan berhadapan dengan sistem pendidikan, kurikulum
yang ketinggalan zaman.
"Tanyalah kepada guru guru apa yang berlaku. Saya banyak
menerima mesej dari para guru yang menyatakan mereka hilang semangat, depresi
terhadap apa yang mereka alami di sekolah.
"Mereka dibebani tugas yang melampau, separuhnya berlapis
lapis tanpa mempunyai mekanisme yang jelas.
"Guru guru telah 2 tahun terpaksa mengajar atas talian,
mereka lesu upaya dan tidak diberikan ruang bernafas. Buka sekolah mereka
dibebankan pelbagai tugas pula, terpaksa jadi warden, jadi kerani.
"Ini menyebabkan ramai guru terfikir untuk bersara awal. Walhal
kalau kita lihat di negara maju seperti laporan UNDP, Unesco, di mana guru
melakukan intervensi yang radikal.
"Maksudnya selepas 2 tahun Perintah Kawalan Pergerakan mereka
perlukan input baharu, anak murid cicir, lost generation, perlunya intevensi. Dana perlu dilaburkan lebih banyak untuk
pendidikan, kalau perlu guru tambahan, lantik, kalau perlu latihan kepada guru,
berikan latihan.
"Ini tidak berlaku di Malaysia, kalau lihat laporan
antarabangsa negara kita tidak responsif kepada pasca Covid," katanya.
Selain isu kebebasan bersuara di peringkat sekolah, Dr Maszlee
yang pernah menjadi Menteri Pendidikan meliputi institusi pengajian tinggi juga
berkata, kebebasan bersuara di universiti ketika ini sangat buruk
Katanya, Kementerian pernah cuba untuk mengantikan Akta Universiti
dan Kolej Universiti (AUKU) kepada akta baharu yang lebih menjamin kebebasan
tetapi selepas kerajaan PH dijatuhkan, kerajaan baharu tidak meneruskannya.
"Pada 2018 kita pinda AUKU sebagai satu tindakan permulaan.
Sebab itu pada 2020 kita gantikan AUKU dengan undang undang lebih progresif,
tujuannya beri lebih kebebasan.
"Kepada ahli akademik, kita pinda akta 605 (a) tatapi bila
tukar kerajaan mereka tak minat teruskan, AUKU pun mereka tak minat. KPT kata
mereka tidak minat. Sebab ingin bungkam suara rakyat.
"Di zaman kita perintah, kita berikan banyak peluang. Kita
tak ambil tidakan sebab kita beri ruang demokrasi bersuara," katanya.
Mengenai tindakan yang diambil oleh Kementerian, Dr Maszlee
berkata, beliau hanya mengambil tindakan ke atas guru guru yang benar benar
melakukan salah laku dan mencemar bidang tugas, bukannya berkaitan isu politik.
"Ada kita ambil tindakan di zaman saya kepada salah laku
seks, cikgu culas tak datang kerja. Tetapi cikgu ahli Umno, Pas di Facebook
maki saya terang terangan pun kita tak ambil tindakan.
"Malah kita tarik mereka menghayati tugas sebenar guru, bukan
main FB tetapi mendidik anak anak. Kita terima aduan ustaz culas pergi kuliah
sana sini tetapi kita buat pendekatan beri kaunserling. Kalau kita nak guna
kuasa, ramai kita ambil tindakan.
"Sebab itu apa berlaku kepada Cikgu Fadli bukan asing. Inilah
yang digunakan oleh Umno BN kemudian PN. Dan kalau mereka kembali berkuasa
mereka lakukan lebih teruk. Trek rekod mereka 60 tahun telah terbukti,"
katanya lagi.