Sentimen mahukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak solo menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) makin kuat ketika penggal Parlimen ke-14 menghampiri penghujungnya.
Terbaharu pada Rabu lalu, beberapa ketua bahagian mendesak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti Melayu terbesar itu menutup pintu rundingan dengan PAS, berkaitan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal untuk menghadapi PRU15.
Bagi bekas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, beliau sebenarnya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan perkataan solo atau bersendirian seperti dibangkitkan UMNO.
“BN tidak pernah bergerak secara solo kerana terdapat parti-parti lain menjadi komponen dalam gabungan berkenaan, ada pakatan dengan setiap komponen.
“Mereka membawa kekuatan masing-masing untuk membantu calon-calon yang menawar diri bertanding bagi pihak parti-parti yang berkenaan atas satu simbol, semuanya menggunakan simbol BN,” katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad (Bhd) Kali Ke-24, di sini malam tadi.
Bekas Menteri Kewangan itu turut mengingatkan, sekiranya pemimpin dalam sesebuah parti ada kepentingan berbeza-beza, ia akan membawa kepada pecah-belah dan disebabkan itulah, BN kalah di Johor pada PRU lalu.
“Hal ini berlaku barangkali ada kepentingan sampingan, menyebabkan tidak ada tumpuan kepada apa yang dihadapi sehingga kalah PRU-14. Sebagaimana berlaku di Selangor dan Kelantan, perpecahan dalam parti Perikatan dan UMNO menyebabkan kita kalah PRU 1959.
“Kita tidak dapat mempertahankan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh calon-calon Perikatan mahupun UMNO disebabkan tidak ikut kehendak sebahagian rakyat. Kita juga bercelaru dalam cara membawa kempen pada ketika itu.
“Jadi, kalau ada perpecahan, maka orang tidak boleh tumpu kepada objektif sebenar kita masuk dalam pilihan raya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.
Katanya, ketika zaman Datuk Seri Najib Razak berkuasa, terdapat 13 parti mendokong pimpinan BN ketika itu, sebelum Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih teraju kepemimpinan selepas UMNO tewas PRU-14.
“Pada PRU-14, kita bukan sahaja kalah di peringkat Pusat, tetapi juga di setiap negeri kecuali Perlis. Ada pula perpecahan dalam UMNO di negeri-negeri apabila ada perebutan, di peringkat Pusat, peringkat negeri dan sebagainya sehingga tidak aman sampai sekarang.
“Ada sahaja orang hendak mencelah dan disebabkan itulah, kita selalu merayu supaya ada solidariti dan perpaduan dalam kalangan kita. Sesiapa pun tidak boleh mencelah, kalau kita sepakat.
“Jangka hayat UMNO bergantung kepada rakyat. Kalau rakyat masih menyokongnya ia akan terus tegak, kuat, dan berkuasa,” katanya, lapor Berita Harian.