Pemenjaraan ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak dan keputusan bersalah terhadap isteri beliau, Rosmah Mansur di Mahkamah Tinggi baru baru ini membuktikan komitmen kerajaan Pakatan Harapan membanteras rasuah dalam tempoh 22 bulan telah berhasil.
Bagaimanapun, dakwa Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, situasi yang menimpa pasangan suami isteri itu membuat pemimpin Umno lainnya kepanasan dan mencari jalan untuk menang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 agar kerajaan boleh mengulang 'perangai lama' dalam pemerintahan.
"Kedua-dua sabitan ini adalah bukti komitmen kerajaan PH memerangi gejala rasuah yang semakin membarah dalam masyarakat.
"Namun begitu, sabitan bersalah ke atas bekas perdana menteri dan isteri membimbangkan para pengkhianat rakyat terutama daripada parti Umno. Ini terbukti daripada serangan berterusan daripada laskar siber Umno yang terus menerus menyerang sistem kehakiman negara.
"Isyarat daripada pemimpin Umno yang menyatakan Barisan Nasional (BN) harus menang besar pada PRU 15 bagi membebaskan Datuk Seri Najib pula merupakan satu bukti Umno mungkin akan campur tangan dalam sistem kehakiman negara jika mereka mendapat mandat daripada rakyat pada PRU 15 nanti," kata Cabang Kemaman dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, perkembangan tersebut begitu membimbangkan kerana sekiranya Umno BN menang maka sistem kehakiman negara berada dalam keadaan yang bahaya.
Oleh itu, KEADILAN Kemaman menyeru rakyat menolak Umno BN dalam PRU 15 agar perubahan baik yang berlaku dalam negara sejak kebelakangan ini boleh diteruskan untuk selama lamanya.
"Rakyat harus sedar golongan pengkhianat negara akan melakukan apa sahaja untuk lepas daripada muka pengadilan, semua peringkat masyarakat harus bangkit mempertahankan negara daripada dikuasai oleh golongan ini.
"KEADILAN Kemaman menyeru segenap lapisan masyarakat supaya terus mempertahankan sistem kehakiman dan juga negara kita yang tercinta ini daripada dirosakkan oleh golongan korup dan rakus kuasa.
"KEADILAN Kemaman juga berharap rakyat memilih PH sekali lagi dalam PRU 15 ini demi meneruskan perjuangan memerangi golongan perasuah dan kleptokrasi," kata kenyataan itu lagi.