Papagomo, Parpukari antara laskar siber ‘jaga’ Rosmah - Saksi
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini bahawa blogger
seperti 'Papagomo', 'Parpukari' dan 'The Unspinners' adalah antara 40 laskar
siber yang dibayar oleh Rosmah Mansor untuk menjaga imej dan reputasi baiknya
di media sosial.
Bekas pegawai khas Rosmah, Rizal Mansor, 46, berkata, bahawa
mereka bertiga menerima bayaran sebanyak RM5,000 sebulan daripada peruntukan
RM100,000 selama hampir enam tahun sejak 2012.
“Mereka adalah antara tiga atau empat ketua pasukan laskar
siber.
"Terdapat juga 12 hingga 15 blogger yang dibayar sekitar
RM3,000 dan kira-kira 30 pengguna Facebook yang semuanya dibayar sekitar
RM2,000 setiap satu selama enam tahun," katanya semasa pemeriksaan balas
oleh peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh.
Rizal, yang merupakan saksi pendakwaan ke-21, memberi keterangan
dalam perbicaraan isteri bekas perdana menteri, Najib Razak yang berdepan satu
tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5
juta dari bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Rizal sebelum ini dalam keterangannya memberitahu bahwa pada
tahun 2012 dan atas arahan Rosmah, dia menubuhkan laskar siber yang tugas
mereka antara lain adalah untuk memantau kandungan media sosial dan menangkis
serta memberikan penjelasan berhubung setiap fitnah dan tuduhan yang dibuat
terhadap isteri Najib itu.
Saksi itu, yang bekhidmat untuk Rosmah antara 1 Mei 2009 dan Mei
2018 di bawah bahagian FLOM (Wanita Pertama Malaysia) yang kemudian dinamakan
semula sebagai Bahagian Khas, berkata, pasukan laskar siber itu beroperasi
dengan dana yang diberikan oleh Rosmah, iaitu RM100, 000 tunai setiap bulan
untuk tujuan tersebut.
Jagjit menegaskan bahawa anggaran dana RM100,000 itu adalah dari
Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang dikhaskan kepada FLOM, dan bukannya datang
secara langsung dari Rosmah, yang tidak dipersetujui oleh Rizal.
Rizal: Saya tidak tahu sumbernya, tetapi saya terima wang
daripadanya (Rosmah).
Jagjit: Wang itu tidak pernah datang dari akaun banknya
(Rosmah)?
Rizal: Saya tidak boleh mengesahkannya.
- Bernama