Isu rasuah sewajarnya dijadikan agenda utama dan naratif kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 bagi Pakatan Harapan (PH).
Hal itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Katanya, memandangkan mood rakyat melonjak selepas beberapa kes berprofail tinggi mencatatkan keputusan yang adil dan saksama maka fokus ke atas isu berkenaan bakal memberi kelebihan kepada PH.
"Rasuah sekarang muncul sebagai musuh utama negara.
"Isu rasuah patut menjadi naratif nasional PH dalam PRU ke-15.
"Barisan Nasional patut ditumbangkan sekali lagi dalam PRU ini kerana rasuah," katanya.
Hassan yang juga Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) itu berkata, keterujaan rakyat dengan sabitan bersalah satu demi satu pimpinan BN dan keluarga mereka harus digunakan untuk menggerakkan gelombang rakyat keluar mengundi beramai ramai sebagaimana pada PRU ke 14 lalu apabila PH menggunakan isu 1Malaysia Development Berhad.
"Kini tanggungjawab para pengundi untuk keluar beramai ramai dalam PRU15 nanti untuk mempastikan perasuah-perasuah dari kalangan pemimpin BN dipastikan gagal kembali berkuasa," kata Hassan yang juga Jawatankuasa Pemantau SPRM.