Di sebalik hubungan Bersatu
dengan Pas yang dilaporkan sedang diselubungi awan mendung sejak kebelakangan
ini, Hadi Awang malam tadi mengadakan pertemuan dengan Mahiaddin Md Yasin.
Dalam pertemuan itu, Presiden Pas ditemani Menteri Besar
Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, sementara Presiden Bersatu pula diiringi
Ahmad Faizal Azumu dan Dr Radzi Jidin.
Ahmad Samsuri adalah Naib
Presiden Pas, manakala Ahmad Faizal dan Dr Radzi masing-masing merupakan
Timbalan Presiden dan Naib Presiden Bersatu.
Memetik kenyataan Mahiaddin di laman Facebooknya yang menyiarkan
gambar pertemuan itu, beliau memaklumkan perjumpaan tersebut berlangsung selama
dua jam.
“Alhamdulillah. Perbincangan selama dua jam malam tadi yang amat
bermakna.
“Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan Perikatan
Nasional dalam menghadapi PRU-15,” tulisnya.
Sebelum ini, Mahiaddin
dilaporkan mahu mendapatkan penjelasan daripada Hadi berhubung dakwaan bahawa
Pas mahu berbaik semula dengan UMNO dan menghidupkan kembali MN.
Dalam usaha terbaru itu, Hadi dan Presiden UMNO, Zahid Hamidi
juga didakwa telah mengadakan satu pertemuan sulit pada Selasa lalu.
Selain itu, beberapa pemimpin Pas juga secara terbuka menyanggah
dan tidak setuju dengan kenyataan Mahiaddin yang menegaskan BN sebagai musuh
PN.
Malah, petang semalam pun, Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hasan
turut mengeluarkan kenyataan media menolak pendirian Mahiaddin itu.
Tanpa menyebut nama Mahiaddin walaupun itulah maksudnya,
Takiyuddin menyebut, tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan
sebagai musuh utama tersebut adalah rakan yang sama-sama membentuk muafakat
dalam kerajaan sedia ada.
Kenapa Takiyuddin tidak hadir
dalam pertemuan bersama Hadi dengan Mahiaddin malam tadi, walhal sebelum ini
dalam banyak pertemuan yang diadakan Presiden Pas itu, beliau dan Samsuri
hampir tidak pernah ketinggalan daripada menjadi peneman?
Begitu pun, apa yang menarik dalam kenyataan Mahiaddin berhubung
pertemuannya dengan Hadi itu ialah banyak perkara telah dipersetujui bersama
untuk mereka memperkukuhkan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15 akan
datang.
Apakah dengan kenyatan itu bermaksud Pas sudah bersetuju untuk
hanya komited kepada PN dan tidak lagi cuba berbaik dengan UMNO serta
menghidupkan MN?
Apakah Pas turut setuju bahawa mulai sekarang BN adalah musuh
kepada PN?
Tetapi, kenapa hanya Mahiaddin yang menyiarkan gambar pertemuan
malam semalam di laman sosialnya, manakala Hadi langsung tidak berbuat
demikian?
Apakah ini bermakna pertemuan itu tidak akan mengubah apa-apa
dari segi matlamat yang ingin dicapai Pas dan mereka akan terus main dua kolam
sehingga ke hari pengundian PRU15? – ShahbudinHusin 27/09/2022.