NYAWA RAKYAT DIPERJUDIKAN DEMI UNTUK TERUS BERKUASA!




19 September 2022

1. Memang senang untuk Presiden UMNO, Zahid Hamidi untuk menyatakan beliau dan rakan rakan UMNO "sanggup meredah banjir" kalau pilihanraya diadakan akhir tahun ini.

2. Mereka dan bantuan golongan kayangan yang sedang berkempen akan meredah awan di langit meninjau dari atas menaiki helikopter dan pesawat kerajaan kononnya "meredah" banjir sementara rakyat berenang dan berakit bertarung nyawa di bawah.

3. Kami rakyat pantai timur, Negeri Terengganu dan Kelantan yang merupakan negeri majoriti Melayu Islam ini sudah arif dengan situasi banjir tahunan dan menjangka akan menjadi antara terburuk tahun ini dengan contoh baru baru ini banjir mega di Pakistan, China dan banyak negara lain pada 2022 ini.

4. Adakah Zahid Hamidi dan rakan rakan bergegas meredah air pada banjir mega Pantai Timur khususnya pada 2014 atau hanya dari bilik operasi yang canggih berhawa dingin di Kuala Lumpur?

5. Di Terengganu "banjir kilat" luar biasa tiga hari yang buruk baru baru ini, telah menyebabkan stesen hidroelektrik empangan Kenyir Hulu Terengganu terpaksa ditutup, tidak melihat golongan kayangan ini termasuk Menteri Besar Terengganu bergegas menjenguk rakyat sehingga orang tempatan mengadu kepada pihak pembangkang yang segala kekurangan.

6. Banjir mega tahun lalu di sebelah Putrajaya yang melanda Shah Alam dan Klang pun tidak ditangani dengan bersegera dan baik oleh kerajaan hari ini apakan lagi kawasan lebih jauh semasa kempen pilihanraya yang sedang rancak berjalan nanti.

7. Adakah menteri menteri dan orang kayangan sanggup meninggalkan kawasan masing masing?

8. Dari contoh contoh yang lepas adakah sanggup Zahid Hamidi meninggalkan Bagan Datoh dan adakah Ahmad Samsuri MB Terengganu di Rhu Rendang, masing masing akan mengutamakan rakyat yang dilanda banjir ketika mereka cuba menyelamatkan diri tenggelam lemas undi di kerusi sendiri semasa kempen pilihanraya?

9. Pada mereka kuasa kerajaan Putrajaya akan lebih penting dari kebajikan rakyat kalau berpandukan pada "track record" lepas Menteri Besar Terengganu yang banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur pada masa air banjir naik yang lepas atau semasa putus bekalan air paip minum di Terengganu.

10. Undi rakyat telah tidak dihormati dengan Langkah Sheraton merampas kerajaan melalui pintu belakang dan kerajaan yang rakus hari ini akan berbuat apa sahaja untuk kekal berkuasa selepas PRU-15.

11. Kenyataan Zahid Hamidi hari ini, Pakatan Harapan takut menghadapi PRU 15 pada musim banjir amatlah tidak masuk akal kerana tidak ada kerajaan yang waras seluruh dunia akan mengadakan pilihanraya pada musim banjir demi keselamatan umum dan demi demokrasi adil untuk rakyat boleh keluar mengundi.

12. Sebenarnya apa yang Zahid ingin perolehi adalah kelebihan secara tidak adil dan salah guna kuasa menggunakan segala kemudahan jentera kerajaan seperti helikopter, bot dan lori untuk memudahkan mengangkut pengundi mereka sementara pengundi pembangkang akan terkandas dan tidak keluar mengundi.

12. Kalau pada waktu biasa, mengikut contoh baru baru ini bantuan menyelamat rakyat dilanda banjir begitu lambat, semasa pilihanraya adakah bot untuk menyelamat rakyat akan diutamakan atau bot untuk berkempen dan mengangkut pengudi akan menjadi keutamaan?

13. Mengapakah nyawa rakyat harus diperjudikan dengan begitu murah, umum diketahui musim banjir besar biasa berlaku akhir tahun, untuk kekal berkuasa apabila umum tahu tempoh pilihanraya di adakan masih berbekal hampir setahun lagi?

14. Jelas tindakan ini akan memperjudikan nyawa rakyat untuk memenuhi cita cita nafsu rakus untuk kerajaan terus kekal berkuasa apa sahaja akibatnya pada kebajikan dan keselamatan nyawa rakyat yang sepatutnya di lindungi.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Pengerusi PAKATAN HARAPAN Terengganu