Rafizi Ramli membangkitkan
kemusykilannya berhubung status keadaan Datuk Seri Najib Razak yang seakan
dilihat tidak berada dalam penjara kerana seolah-olah mempunyai akses dengan
dunia luar.
Timbalan
Presiden PKR itu mendedahkan berhubung pesanan mesej tular berhubung kod
“merpati” yang dikaitkan dengan Najib, walhal sepatutnya bekas Perdana Menteri
itu tidak boleh mendapatkan sebarang maklumat dari dunia luar.
Walaupun
pada awalnya Rafizi tidak mahu melayan berhubung khidmat pesanan tular
tersebut, bagaimanapun beberapa kenyataan dalam akaun Facebook Najib
kebelakangan ini menimbulkan syak dan musykil adakah banduan kolar putih itu
sedang menjalani hukuman di penjara atau sebaliknya kini berada di Hospital
Rehabilitasi Cheras (HRC).
“Saya
keliru. Rakyat diberitahu bahawa kesihatan Najib tidak baik, tetapi sebaliknya
dia nampak macam sihat dan malah boleh buat hantaran di Facebook,” katanya
dipetik laporan Malaysiakini.
Jelas Rafizi, Najib boleh
berhujah bahawa hantaran di media sosial itu mungkin dibuat oleh pentadbirnya
yang menjaga akaun tersebut.
Namun,
katanya, Najib tidak sepatutnya mempunyai interaksi dengan dunia luar.
“Bagaimana
dia sampaikan mesej kepada pentadbir Facebooknya, lebih-lebih lagi bagaimana
dia tahu apa yang saya cakap semasa pelancaran jentera pilihan raya PKR pada
Ahad lalu?” katanya lagi.
Menurut
Rafizi lagi, jika benar Najib akan dihantar ke HRC, ia sekali gus mengukuhkan
dakwaan di Internet itu.
“…dan
ini isu serius yang perdana menteri, menteri dalam negeri dan kerajaan perlu
jawab,” katanya.
Dalam
laporan Malaysiakini itu juga berkata mereka sudah menghubungi Kementerian
Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan wakil Najib bagi mendapatkan penjelasan.
Sejak
beberapa hari lalu beredar dakwaan layanan istimewa diberikan terhadap Najib –
yang dirujuk dengan nama kod Merpati – di media sosial.
Dakwaan
itu antaranya melibatkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan
untuk membawa dia ke HRC bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat
kemudahan orang kenamaan (VIP).
Untuk
rekod, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Baru-baru
ini Najib dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana mendakwa keadaan
kesihatannya semakin buruk dan terpaksa menerima rawatan khusus.