Kolam takungan banjir di KL jangan dijual
Pendedahan di portal berita The Vibes mengenai dakwaan sebuah kawasan kolam takungan di Bangsar, Kuala Lumpur telah dijual untuk tujuan pembangunan apartmen mewah amat dikesali sekiranya benar.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, kolam takuman yang dimaksudkan itu bukan salah satu dari enam kolam takungan banjir yang telah diluluskan untuk pembangunan seperti yang didedah Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.
Katanya, kolam sedia ada pun ketika ini melimpah apabila berlaku hujan lebat dan menyebabkan kawasan sekitar banjir kilat, apatah lagi jika dikurangkan jumlahnya yang akan memberi kesan lebih parah.
“Kolam takungan di Lorong Maarof (misalnya), sebelum ini, seringkali melimpah bila hujan lebat hingga saya sendiri lihat limpahan air merosakkan jalan di Lorong Maarof serta mengakibatkan Taman Bangsar dinaiki air.
“Oleh itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memberi penjelasan penuh mengenai perkara ini. Saya sukar terima kawasan yang begitu kecil boleh atau telah diberi kelulusan untuk tujuan pembangunan yang besar.
“Berdasarkan carian di Online Mapping PBRKL2020, setakat ini lokasi tersebut (Lot 481350) kelihatan ditentukan kegunaannya sebagai “Infrastruktur & Utiliti”. Oleh itu, amat ganjil bila dilaporkan ia bakal menjadi kondominium mewah,” katanya dalam catatan di Fecebook.
Tegas Ketua Penerangan KEADILAN Pusat itu lagi, pendirian beliau tidak berubah, iaitu kolam takungan perlu dikekalkan. Bukan sahaja 6 kolam di Batu 4 1/2, Jalan Klang Lama yang dirancang untuk dibangunkan, tetapi juga Kuala Lumpur, katanya, perlukan kolam yang lebih banyak untuk menampung hujan lebat akibat perubahan iklim yang sedang berlaku pada waktu ini.
“Saya menjangkakan kita perlu lebih banyak kapasiti takungan berbanding yang ada sekarang terutama apabila berlaku krisis iklim seperti yang kita saksikan sekarang.
“Pada masa yang sama, warga KL perlu diberitahu status terkini perancangan tebatan banjir kilat bagi KL, termasuk dalam menambahbaik saliran serta kolam-kolam takungan banjir.
“Untuk hanya bergantung kepada sejumlah hotspot didirikan, mungkin memadai bagi jangkamasa pendek atau sementara waktu, tapi apakah sebenarnya perancangan jangka masa panjang pihak berkuasa terutama bila melibatkan kawasan-kawasan yang menyaksikan pembangunan begitu pesat,” katanya.
Justeru, Fahmi mengingatkan bahawa musim hujan berterusan atau tengkujuh pada penghujung tahun semakin hampir.
Oleh itu berharap DBKL menyediakan lebih banyak kolam takungan dan saliran yang baik sebelum musim hujan tiba.