KENYATAAN AKHBAR
ANGKATAN MUDA KEADILAN
DIVIDEN TAMBAHAN RM25 BILION PETRONAS, APA JADI PADA KRITIKAN LAMPAU OLEH UMNO?
Pada 30 Ogos 2022 yang lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz mengumumkan dividen tambahan kepada kerajaan oleh Petronas sejumlah RM25 bilion, menjadikan angka keseluruhan pembayaran dividen kepada kerajaan tahun ini mencecah RM50 bilion.
Jumlah tersebut tidak terlalu berbeza berbanding RM54 bilion, termasuk sejumlah RM30 bilion dividen tambahan yang diterima oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelesaikan masalah tunggakan bayaran balik GST yang tidak diurus dengan betul oleh pentadbiran Najib Razak pada 2019. Bezanya kini; pembayaran dividen ketika pentadbiran Pakatan Harapan pernah dikritik oleh UMNO sebagai menjarah dan memerah duit Petronas, sedangkan kritikan yang sama tidak dilemparkan terhadap tindakan sama pentadbiran sendiri hari ini.
Harus diingatkan, dividen khas yang dibayar oleh Petronas pada 2019 dahulu adalah bagi menampung tunggakan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selepas kerajaan Barisan Nasional, dengan secara salah, tidak memindahkan kutipan cukai GST ke dalam Tabung Bayaran Balik GST seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang di bawah Seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 ketika itu.
Kita wajar menuntut jawapan dan respon dalam isu ini terutama daripada pemimpin-pemimpin yang pernah lantang mengkritik sebelum ini termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Saudara Asyraf Wajdi yang masih belum bersuara apabila kerajaan yang Perdana Menteri dan Menteri Kewangannya adalah pempimpin kanan dalam parti dan gabungan pemerintah.
Adakah Saudara Asyraf Wajdi dan pemimpin-pemimpin dalam kerajaan yang lain bersedia untuk mengkritik, atau menarik semula kritikan mereka terhadap langkah Pakatan Harapan dahulu?
Jika diteliti semula, kerajaan gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang memerintah hari ini telah pun sebenarnya membuat unjuran bagi tujuan mendapatkan sumbangan dan dividen daripada Petronas pada jumlah yang lebih tinggi daripada apa yang diterima ketika Pakatan Harapan.
Dalam laporan yang memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad, Petronas sepatutnya dianggarkan menyumbang sebanyak RM55 bilion hingga RM59 bilion kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini. Jangkaan itu termasuk sumbangan dalam bentuk dividen, Cukai Korporat, cukai petroleum, Cukai Makmur, bayaran tunai hasil petroleum, serta duti eksport.
Sasaran pendapatan kerajaan tersebut dibuat dengan unjuran keuntungan oleh Petronas (selepas cukai) bagi tahun 2022 adalah sekitar RM75 bilion hingga RM80 bilion. Perkara ini dinyatakan oleh menteri bertanggungjawab ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Parlimen pada Julai lalu.
Demikian pun, dipercayai kemampuan Petronas untuk memberikan sumbangan dan dividen yang setinggi itu dibuat ketika laporan kewangan mengandaikan harga minyak mentah kekal pada paras yang relatifnya tinggi iaitu lebih AS$100 setong beserta situasi di mana pengeluaran tidak terganggu sepanjang tahun.
Meyakini keupayaan dan integriti pengurusan semasa Petronas, menjadi harapan agar Petronas, dalam mengumumkan pemberian sumbangan dan dividen kepada kerajaan, telah pun mengambil kira kemampuan dan daya saing syarikat, selain aspek penampan serta keupayaan dalam berhadapan dengan sebarang ketidaktentuan.
Pihak kerajaan turut digesa untuk mengamalkan ketelusan dalam ehwal ini agar dapat dipastikan bahawa segala perbelanjaan daripada hasil sumbangan dan dividen Petronas ini digunakan secara betul; bukan untuk menampung kepentingan pihak tertentu, menampal kerugian akibat keculasan kerajaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, apatah lagi bagi tujuan berkait kepentingan dalam pilihan raya akan datang.
ADAM ADLI ABD HALIM
KETUA,
ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA