Kecuali kluster WTC UMNO, pelbagai kelompok lain sama ada dalam kerajaan, blok pembangkang atau masyarakat umum, tidak terlihat ada yang benar-benar setuju PRU15 diadakan pada tahun ini.
Semua mereka sependapat bahawa PRU15 pada hujung tahun ini yang berkemungkinan bertembung dengan musim banjir adalah tidak sesuai sama sekali.
Mereka seterusnya lebih setuju jika Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tidak tergesa-gesa membubarkan Parlimen dan hanya berbuat demikian pada tahun hadapan.
Rakyat juga jika dikaji tentang sikap mereka, secara umumnya lebih menumpukan hujung tahun ini untuk bersiap-siap menanti ketibaan musim tengkujuh yang mungkin disertai banjir besar berbanding untuk mengundi atau menukar kerajaan.
Meskipun sentimen menukar kerajaan sesekali terdengar kuat arusnya, tetapi kebimbangan terhadap banjir, dalam banyak keadaan, adalah melebihi segala-galanya kerana melindungi nyawa lebih dianggap bernilai jika dibandingkan dengan memikirkan nyawa politik mereka yang mencari kuasa.
Berdasarkan sentimen tersebut, harus diakui bahawa adalah merbahaya jika Ismail Sabri mengambil keputusan membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat ini atau pada hujung tahun sebagaimana dikehendaki kluster WTC UMNO.
Membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU di ketika pelbagai pihak menyatakan ia tidak sesuai dan rakyat juga terlihat tidak bersedia, kebimbangan paling menakutkan ialah ia mungkin menjadi lantunan yang menghentak balik UMNO, BN dan juga Perdana Menteri sendiri.
Bertindak atau membuat sesuatu yang tidak selari dengan kehendak rakyat lebih mudah akan menyebabkan rakyat akhirnya menunjukkan kuasa penolakan mereka.
Jika itu berlaku, PRU yang sepatutnya diadakan untuk UMNO dan BN mendapat mandat akhirnya akan bertukar menjadi tali gantung yang membunuh diri sendiri.
Sebagai menunjukkan kemarahan dan rasa tidak puas hati, rakyat akan keluar mengundi dengan satu tujuan iaitu untuk menghukum dan menjatuhkan kerajaan kerana dianggap membelakangi dan tidak peduli keadaan mereka.
Jika itu berlaku, UMNO, BN dan Perdana Menteri juga yang akan kerugian akhirnya.
Sebab itu, adalah mustahak untuk Perdana Menteri meneliti dengan mendalam sentimen rakyat dan membuat kajian yang sewajarnya sebelum mengambil keputusan untuk membubarkan Parlimen.
Sebaik-baiknya ambil sikap bertenang dahulu dan fikirkan keutamaan serta keinginan rakyat.
Mengadakan PRU ketika rakyat benar-benar bersedia dan dalam keadaan mereka selesa, selain memanfaatkan lanjutan masa sehingga tahun depan untuk terus meningkatkan lagi program serta bantuan kepada rakyat, lebih memberi jaminan lagi ke arah kemenangan yang diidam-idamkan.
Tiada guna tergesa-gesa mengadakan PRU jika kemenangan yang diburu masih samar, malah lebih mungkin menyebabkan kekalahan. – ShahbudinHusin 22/09/2022.