PUTRAJAYA:
Hakim-hakim perlu taat kepada Perlembagaan Persekutuan dan tegas dalam
menjunjung kedaulatan undang-undang pada semua keadaan.
Ketua
Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tun Mat berkata demikian dalam ucapannya pada
Prosiding Rujukan yang diadakan hari ini bagi memperingati bekas Ketua Hakim
Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas.
Beliau
berkata tahun 1988 akan selalu dikenang sebagai detik hitam dalam sejarah Badan
Kehakiman Malaysia kerana kebebasannya yang dijamin oleh Perlembagaan
Persekutuan, dikejutkan dengan pemecatan Tun Salleh selaku Ketua Hakim Negara.
"Ia mengakibatkan pergolakan dalam sistem
kehakiman negara dan memberikan tamparan hebat kepada Badan Kehakiman dan
Perlembagaan, katanya.
Tengku
Maimon berkata episod 1988 seharus dijadikan satu pengajaran oleh hakim-hakim
bahawa biarpun terdapat percubaan untuk menjejaskan kebebasan badan kehakiman,
mereka dalam segala keadaan perlu taat kepada Perlembagaan Persekutuan dan
tegas dalam menjunjung kedaulatan undang-undang.
Dalam
memperingati Allahyarham Tun Salleh, Tengku Maimun berkata bekas Ketua Hakim
Negara itu adalah seorang tokoh perundangan yang berani dan hebat kerana telah
mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan gigih mempertahankan kebebasan
badan kehakiman hingga ke akhir hayatnya.
Beliau
berkata Tun Salleh pernah berkata hakim-hakim patut mematuhi dan menghormati
konsep pemisahan kuasa dan hakim-hakim tidak sepatutnya mencampuri domain
eksekutif atau cawangan perundangan kerajaan.
Tengku
Maimun berkata Tun Salleh dengan beraninya mempertahankan peranan badan
kehakiman, telah memberitahu adalah peranan badan kehakiman untuk mentaksahkan
sebarang tindakan eksekutif atau badan perundangan menggunakan perintah
prerogatif atau pengisytiharan sekiranya mereka melampaui batas kuasa yang
diberikan kepada mereka oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau
berkata sepanjang Tun Salleh berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara, badan kehakiman
Malaysia mendapat pujian sebagai contoh kepada negara lain dalam kebebasan
kebolehpercayaan badan kehakiman.
Tujuh
bulan sebelum kematian beliau, badan kehakiman menjemput Tun Salleh ke Istana
Kehakiman untuk minum lewat petang bagi memperingati beliau yang menjadi satu
rencana khas di dalam Buku Tahunan Kehakiman Malaysia.
"Dalam
beberapa dekad sejak dipecat, beliau berkata tiada penutupan untuk beliau
kerana tidak berpeluang untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kakitangan
mahkamah, badan kehakiman dan golongan peguam. Petang itu berakhir dengan acara
ringkas untuk mengucapkan selamat jalan kepada Tun Salleh.
"Tidak
disangka petang itu merupakan satu perpisahan dengan ucapan selamat tinggal
terakhir kami kepada Tun Salleh," katanya.
Prosiding
Rujukan itu dipengerusikan Tengku Maimon yang hadir bersama Presiden Mahkamah
Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.
Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas
Ermieyati Samsudin dan 39 ahli keluarga Allahyarham hadir pada prosisng
perujukan, tradisi yang dianjurkan bagi memperingati anggota golongan peguam
yang telah pergi.
Peguam
Negara Tan Sri Idrus Harun dan Presiden Majlis Peguam Malaysia Karen Cheah dan
cucu Allahyarham Nuralissa Norrazak juga menyampaikan ucapan sebagai
penghormatan kepada arwah.
Tun
Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut di Terengganu meninggal dunia pada
16 Jan tahun lepas di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dua hari
selepas disahkan positif COVID-19. Ketika itu beliau berusia 91 tahun.
Beliau
berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara di Mahkamah Persekutuan dari 1984 sebelum
dipecat pada 1988 dan beliau mempertahankan kebebasan badan kehakiman ketika
berlaku krisis perlembagaan semasa Tun Dr Mahathir Mohamed merupakan Perdana
Menteri pada masa itu.
Kemudian
beliau menyertai politik dan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Jertih,
Terengganu dengan tiket Pas pada tahun 1999.
Selepas
mengundurkan diri daripada politik beliau menjadi seorang peguam dan sering
muncul di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.
-- BERNAMA