Konsert Riuh Sokmo bertentangan dasar kerajaan negeri, kata Pemuda PAS Kelantan
PETALING JAYA: Pemuda PAS Kelantan bimbang dengan penganjuran Konsert Riuh Sokmo yang berlangsung di negeri itu minggu ini kerana disifatkan bertentangan dasar “Membangun Bersama Islam” dibawa kerajaan negeri pimpinan PAS.
Ketuanya Mohamad Kamal Mohamed berkata, beliau menerima pelbagai pandangan ramai yang kebanyakannya menyatakan kebimbangan sama berhubung suburnya budaya konsert di negeri itu.
“Dewan Pemuda PAS Kelantan merasakan kebimbangan yang sama sementelah negeri ini telah mempunyai identiti adat dan budaya tersendiri dengan dasar ‘Merakyat Membangun Bersama Islam’.
“Anak-anak muda pastinya menjadi sasaran utama kepada siri-siri konsert serta hiburan diadakan dan hal inilah amat membimbangkan semua pihak termasuk golongan ibu bapa, pimpinan setempat dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri bertindak tegas terhadap penganjur jika konsert itu melanggar enakmen hiburan negeri.
“Enakmen hiburan negeri Kelantan secara ringkas masih tidak membenarkan persembahan wanita berumur 15 tahun ke atas di pentas umum (persembahan wanita hanya untuk audien wanita) dan segregasi peserta dengan tiga tempat duduk iaitu lelaki, perempuan dan keluarga,” katanya.
Mengikut laporan media, Konsert Riuh Sokmo! bersama Celcom menampilkan persembahan artis terkenal tanah air seperti Wings, Ramli Sarip, Kugiran Masdo, Faizal Tahir dan ramai lagi.
Konsert itu dianjurkan dengan kerjasama penyedia telekomunikasi Celcom Axiata Berhad (Celcom) di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh dan padang Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, mulai 16 Sept hingga 18 Sept.
Dilaporkan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) menyasarkan lebih 20,000 pengunjung ke Kembara Riuh Keluarga Malaysia (KRKM) edisi keempat itu.
Pada 19 Ogos lalu, Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari secara terbuka membidas penganjuran bertalu-talu konsert mega yang didakwanya “kerja gila menjemput kemurkaan Allah”.
Kenyataan itu dibuat tidak sampai 24 jam selepas Billie Eilish mengadakan konsert “Happier Than Ever, The World Tour” di Stadium Nasional Bukit Jalil malam sebelumnya.