Dari Rafizi Ramli
BANTAH PRU15 SEMASA BANJIR: SELAMATKAN NYAWA BUKAN JAWATAN
Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat tekanan
hebat
dari UMNO untuk mengadakan Pilihanraya Umum 15 (PRU15) secepat
mungkin. Jika Parlimen dibubarkan dalam masa sebulan dari sekarang, PRU15 akan
diadakan semasa musim banjir.
Semua laporan kaji cuaca meramalkan bencana banjir yang lebih
parah tahun ini. Belum pun musim tengkujuh sampai, kejadian banjir kilat terus
berlaku di tempat-tempat yang sebelum ini tidak mengalami bencana banjir yang
teruk.
Presiden UMNO, Dato' Seri Zahid Hamidi mendabik dada bahawa UMNO
sanggup meredah banjir demi PRU15 yang lebih awal.
Semua parti politik akan bersedia secukupnya apabila PRU15
dipanggil. Isunya bukanlah soal parti-parti politik gah berkempen walaupun
menghadapi banjir.
Isu pokok ialah semua pihak perlu menggembleng tenaga untuk
menghadapi banjir dan semua perkara yang boleh ditangguhkan atau dielakkan,
wajarlah ditangguhkan dahulu.
PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion akan digunakan
untuk menguruskan pilihanraya sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan
kepada usaha menangani bencana. Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam
perlu bertugas untuk mengendalikan pilihanraya sedangkan mereka wajar
bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir.
Hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas
bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir,
bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihanraya.
Bantu saya bawa suara anda kepada ahli-ahli politik. Tandatangan
petisyen ini dan sebarkan kepada seramai mungkin melalui semua saluran.
Saya hanyalah seorang rakyat. Dengan bantuan ratusan ribu suara
rakyat yang lain, suara kita bersama akan didengari oleh ahli politik.
Tandatangan petisyen di bit.ly/TumpuBanjir
RAFIZI RAMLI
Rakyat Malaysia