BELANJAWAN TAHUN 2023 DAN TARIKH BILA PILIHANRAYA UMUM



suatu pandangan oleh

Ahli Parlimen Pasir Gudang


Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 akan bermula pada Isnin 03 Oktober 2022 hingga 29 November 2022.


Mesyuarat tersebut mengambil masa selama 32 hari.


Pada Jumaat jam 4.00 petang 07 Oktober 2022 akan dibentangkan Belanjawan Kerajaan Persekutuan Malaysia bagi tahun 2023.


Sebuah Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab akan membentangkan Rang Undang-undang Belanjawaan tahun 2023 pada 7 Oktober 2022 diikuti dengan perbahasan di Dewan Rakyat sepenuhnya di peringkat dasar dan Jawatankuasa bagi setiap Kementerian.


Selepas perbahasan perlu dijalankan pengundian bagi setiap Kementerian dan Belanjawan keseluruhan Negara juga adalah wajib dijalankan undian supaya RUU Perbekalan atau Belanjawan 2023 itu selepas diluluskan oleh Dewan Rakyat akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara sebelum menjadi Undang-undang.


Proses ini mengambil masa sehingga ke bulan Disember 2022.


Ini bermakna pilihanraya umum ke-15 hanya boleh diadakan pada tahun 2023.


Sebaliknya, bagi sebuah Kerajaan Persekutuan yang tidak bertanggungjawab, ia akan membentangkan Belanjawan 2023 pada 07 Oktober 2022 dan beberapa hari kemudian sebelum dibahaskan dan diluluskan Perdana Menterinya menghadapi Yang diPertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihanraya Umum ke-15.


Kerajaan yang tidak bertanggungjawab itu akan membentangkan Belanjawaan untuk pilihanraya dengan segala gula-gula dan janji manis untuk memancing Rakyat supaya mengundi mereka.


Kerajaan yang tidak bertanggungjawab itu tidak peduli dengan kemungkinan besar banjir monson yang akan berlaku pada bulan November dan Disember nanti.


Kerajaan yang tidak bermoral itu akan bentangkan Belanjawan Negara bersifat sandiwara dengan tujuan hanya untuk mendapatkan undi Rakyat dalam pilihanraya umum pada musim banjir.


Apabila Parlimen dibubarkan sedangkan Belanjawan tahun 2023 yang dibentangkan tetapi belum diluluskan maka semua prosiding sidang Parlimen itu hanya jadi wayang sahaja untuk menipu Rakyat.


Jika senario ini benar-benar berlaku, maka


Selepas PRU-15 nanti Rang undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan) perlu dibentangkan semula oleh Kerajaan Persekutuan yang baru.


Dari segi Undang-undang Perlembagaan, Kerajaan Persekutuan bagi Parlimen Keempat Belas adalah berbeza dengan Kerajaan Persekutuan bagi Parlimen kelima Belas.


RUU Belanjawan 2023 yang dibentangkan dalam sidang Parlimen Keempat Belas (sekarang) tidak boleh disambung secara otomatik oleh Kerajaan baru dalam Parlimen kelima Belas (selepas PRU-15) walau parti politik yang sama menjadi Kerajaan.


Apatah lagi jika parti politik yang lain pula berkuasa selepas PRU-15.


Jadi sebagai seorang Ahli Parlimen maka saya menasihatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Kerajaan hibrid sekarang BN/PN supaya membentangkan Belanjawaan yang betul bukan sandiwara untuk tahun 2023 yang boleh dipertanggungjawabkan.


Kita tidak mahu pembentangan Belanjawaan olok-olok atau wayang atau sandiwara pada 07 Oktober 2022 nanti kerana Perdana Menteri dan kabinetnya sebenarnya telah membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja selepas pembentangan Belanjawan.


Jika itu berlaku Belanjawan yang dibentangkan pada 7 Oktober itu nanti menjadi sia-sia sahaja.


Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

19/9/2022