Aziz alu-alukan Anwar bertanding di Tambun tapi …..
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr
Abdul Aziz Bari yang sebelum ini disebut bakal bertanding di kerusi
Parlimen Tambun mengalu-alukan kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding,
namun menyifatkannya sebagai tidak berbaloi.
Menurut beliau, sebagai calon Perdana Menteri,
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mempunyai standard yang tinggi untuk
bertanding di Perak.
“Saya memikirkan bakal Perdana Menteri mahu bertanding
di Tambun, memang cukup layak untuk dia bertanding.
“Tetapi pada pandangan saya harus mempertimbangkan
juga kedudukannya dalam politik untuk bertanding di sini.
“Tak akan kita nak turunkan standard dia kepada ini
kan (bertanding di Tambun), berbaloi ke?,” katanya kepada pemberita di sini
pada Isnin.
Ketua Pembangkang
Perak itu berkata, kesediaan Anwar bertanding di Perak sudah tentu memberi
kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.
Bagaimanapun katanya, belum ada
sebarang ketetapan rasmi dibuat berhubung kedudukan calon dan kerusi di situ,
setakat ini.
“Saya fikir dia (Anwar) cuma memberi maklum balas
kepada soalan pemberita sahaja.
“Dia tidak mengatakan secara rasmi akan bertanding di
Tambun, tetapi bagi kami kalau bos besar nak datang, beri kelebihan kepada
kami,” katanya, lapor Sinar Harian.
Pada 11 Ogos lalu, Anwar sedia
mempertimbangkan pelawaan PKR Perak untuk bertanding di negeri itu pada Pilihan
Raya Umum ke-15 (PRU15).
Antara kerusi dicadangkan termasuklah kawasan Parlimen
Tambun yang kini disandang Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Selain Anwar, Abdul Aziz yang kini Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Tebing Tinggi turut menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi
berkenaan pada PRU15.