NIK HASYUDEEN
Setiap musim luruh, para ahli ekonomi, jurubank pusat, ahli
akademik dan pembuat polisi dari seluruh dunia akan berhimpun di Jackson Hole
di Wyoming bagi menghadiri Simposium Ekonomi yang mana Federal Reserve Bank of
Kansas City menjadi tuan rumahnya.
Mengapa mereka seperti melakukan “umrah tahunan” ke sini?
Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika akan memberikan ucapan dasar beliau yang
akan memberikan gambaran akan arahtuju dasar bank demikian. Oleh kerana Amerika
masih lagi merupakan pusat pasaran kewangan dan modal dunia, tindakan yang
diambil oleh Rizab Persekutuan Amerika akan memberi kesan global termasuk harga
barangan yang kita makan di rumah-rumah kita.
Berikut adalah ringkasan ucapan Jerome Powell yang tak sampai 10
minit pun. Di sana tak ada kata-kata aluan yang panjang walaupun di hadapan
beliau ada ramai orang-orang ternama. Saya suka pendekatan yang lebih
mementingkan isi dari kulit berbandingkan budaya di tempat lain yang mana
ucapan boleh jadi berjam-jam tanpa sebarang isi yang bermanfaat. Ramai pula
orang dipaksa hadir bagi menampakkan pengucap yang tak bermanfaat itu nampak
popular.
Menurunkan inflasi kepada kadar 2% seperti yang disasarkan oleh
Rizab Persekutuan Amerika adalah fokus utama mereka.
Kestabilan harga adalah tanggungjawab Rizab Persekutuan yang
merupakan asas kepada ekonomi Amerika. Tanpa kestabilan harga, banyak
keputusan-keputusan strategik tidak boleh dilakukan atau pun tersasar. Beban
inflasi akan ditanggung dengan lebih berat oleh orang-orang yang paling tidak
mampu untuk menanggungnya.
Menurunkan inflasi memerlukan masa yang panjang bagi mempastikan
permintaan dan bekalan berada di tahap keseimbangan yang lebih baik. Ini akan
memperlahankan perkembangan ekonomi dan memberi kesan ke atas pasaran buruh.
Namun, kegagalan untuk mewujudkan kestabilan harga akan memberi kesan yang
lebih buruk.
Ekonomi Amerika masih kukuh walaupun berkembang dengan lebih
perlahan berbanding dengan 2021. Pasaran buruh juga kukuh walaupun banyak
majikan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerja. Inflasi telah melebihi
2% dan kesannya dirasai oleh seluruh ekonomi.
Sasaran Jawatankuasa Pasaran Terbuka Kebangsaan (FOMC) terkini
menetapkan kadar dana kebangsaan disasarkan kepada 2.25% sehingga 2.50% dan
kenaikan seterusnya dijangka di dalam mesyuarat seterusnya. Jangkaan purata
kadar dana ahli-ahli FOMC untuk tahun 2023 ialah bawah sedikit dari 4.00%.
Keputusan berkenaan Polisi Monetari berdasarkan dinamik inflasi
yang diperhatikan semasa kekelamkabutan harga masa lampau dan juga semasa
kestabilan harga suku abad yang terakhir. Ada 3 pengajaran penting yang
digunapakai:
1.
Bank Pusat boleh dan seharusnya mengambil tanggungjawab untuk
mempastikan kadar inflasi yang rendah dan stabil.
2.
Jangkaan awam berkenaan kadar inflasi masa depan juga memainkan
peranan di dalam mempengaruhi inflasi. Ini pula akan mempengaruhi keputusan
ekonomi perniagaan dan isi rumah. Ini seteruskan akan mempengaruhi kadar
kenaikan harga.
3. Usaha menurunkan kadar inflasi kena dilakukan sehingga ianya
selesai. Sekiranya ianya diberhentikan separuh jalan, tempoh inflasi yang
tinggi akan menjadi lebih panjang.
Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh Powell, tentunya Rizab
Amerika akan menaikkan lagi kadar faedah di sana sehingga inflasi benar-benar
berada di bawah 2% berbanding dengan dalam 8.5% sekarang. Ini akan
mengakibatkan kadar pinjaman/pembiayaan menjadi lebih tinggi manakala pasaran
kewangan dan pasaran buruh akan menjadi lebih lembab bagi menurunkan permintaan
ke atas barangan dan perkhidmatan.
Jadi, kita dan warga dunia yang lain kena bersedia untuk
menghadapi suasana ekonomi global yang lebih sejuk walaupun kadar pinjaman akan
tetap tinggi untuk kesekian waktu. Tentukan kadar tukaran wang Dollar akan
mengukuh berbanding dengan matawang lain seperti Ringgit.
Oleh kerana Rizab Persekutuan Amerika adalah satu entiti bebas,
mereka tak peduli pun akan pilihanraya separuh penggal di Amerika pada bulan
November ini. Inilah sebabnya ahli-ahli politik Amerika akan berhati-hati di
dalam proses pengesahan Pengerusi Rizab Kebangsaan di Dewan Senet. Lepas
dilantik, apa orang politik kata pun tak akan memberi kesan kepada keputusan
Rizab Kebangsaan. Ni lah baru meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan
orang politik yang hanya memetingkan polisi-polisi yang popular walaupun negara
akan masuk gaung. Peduli apa mereka.
Kita semua kena menjadi warganegara yang ada banyak maklumat dan
membuat keputusan berdasarkan ilmu. Hanya dengan cara ini kita boleh menjadi
khalifah yang berkesan di muka bumi Allah ini. Syarahan dan seruan memang senang
tetapi tidak akan mengubah keadaan. Hanya tindakan yang berasaskan analisa yang
mantap dan berani menghadapi cemuhan pelbagai pihak yang ada pelbagai
kepentingan yang akan mengubah keadaan.
Tak mengapa membuat keputusan yang tak popular asalakan ianya
bermanfaat secara meluas dan berpanjangan. Ini memerlukan keberanian dan
kesanggupan menghadapi risiko dan keputusan kita.