Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat skandal bina kapal
Skandal pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combatant Ship (LCS) sebagaimana di dedahkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru baru ini sewajarnya disiasat oleh satu Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Menurut Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Kemaman, hanya suruhanjaya bebas sahaja yang boleh menyiasat secara telus skandal tersebut, apatah lagi jika membabitkan menteri dan golongan elit.
“AMK Kemaman mendesak pihak kerajaan agar segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat perkara ini,” kata kenyataan yang dikeluarkan Unit Penerangan AMK Kemaman.
Tegas kenyataan itu, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dengan jelas membayangkan berlaku penyelewengan dalam pembinaan LCS kerana tidak ada satu pun kapal berjaya disiapkan sejak dimulakan pada 2011.
“Pendedahan ini membongkar satu lagi skandal dan salah guna kuasa yang melampau oleh pihak kerajaan yang diterajui oleh Umno.
“Skandal ini telah menambah satu lagi senarai pengkhianatan pimpinan yang korup, menjarah kekayaan rakyat dengan rakus untuk mengkayakan diri sendiri dan juga kroni elit mereka.
“Rakyat sudah muak dengan siri-siri skandal seperti ini. KEADILAN selaku parti yang konsisten dalam menentang segala salah laku dan tatakelola yang tidak berintegriti akan terus bersama rakyat berjuang untuk menghapuskan para korupsi politik dan mengembalikan tatakelola yang baik untuk negara dan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.
Justeru itu, tegas AMK Kemaman, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja amat perlu dilakukan dan disegerakan.