Sentimen rakyat tolak rasuah, penyokong Najib kena faham
Pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Najib Razak seharusnya memberi beberapa pengajaran penting kepada rakyat Malaysia.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Lee Chean Chung, sekurang kurangnya terdapat 3 pengajaran berguna di sekitar kes Ahli Parlimen Pekan itu.
“Pertama, keputusan mahkamah menunjukkan bahawa rakyat tolak rasuah. Tidak kira orang itu siapa, siapa berkuasa. Atau pun pun bekas Perdana Menteri tetapi bila didapati bersalah dia akan dibawa ke muka keadilan
“Mesej kedua, kebebasan kehakiman nampak ditegakkan dalam kes ini. Ini membantu untuk memulihkan keyakinan pelabur dan juga masyarakat antarabangsa, di samping memberikan satu keyakinan kepada rakyat untuk terus membanteras dan menolak budaya rasuah
“Kita boleh dengan bangga bercerita kepada anak kita bahawa nilai moral, agama, bahawa budaya rasuah harus dilawan” katanya dalam satu siaran media.
ADUN Semambu itu berkata lagi, biar pun para penyokong Najib bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas pemimpin utama Umno itu, namun mereka harus sedar sentimen umum rakyat Malaysia adalah menolak rasuah dan tidak mahu sesiapa yang terlibat dengannya terus bebas tanpa dihukum.
“Mesej yang ketiga, bagi mereka yang bersimpati dengan Datuk Seri Najib harus faham bahawa sentimen rakyat menolak budaya rasuah, bukan parti. Tidak kira datang dari Umno BN, KEADILAN atau DAP, harus dihadap ke mahkamah tidak mengira parti dan latar belakang.
“Kita perlu menunjukkan satu platform dan budaya politik baharu supaya di ambang merdeka ini kita bersama membina sebuah negara lebih maju, bersih dan bebas,” katanya lagi.