PETALING JAYA: Rumah kos rendah disubsidi kerajaan sekalipun tidak terlepas daripada cengkaman pihak yang mahu mengambil kesempatan mengaut untung.
Banyak kediaman seumpama itu telah pantas dibeli sehingga dua kali ganda harga asalnya seterusnya mengakibatkan rumah berkenaan langsung tidak lagi mampu dimiliki golongan B40 seperti sepatutnya.
Ini menjadi amalan biasa dalam pasaran sekunder dan lelongan, kata Pengurus Besar PropertyGuru Data Sense Joe Thor.
Beliau menganggarkan sekurang-kurangnya 30% pembeli dalam pasaran subjualan bagi rumah kos rendah dan sederhana sebenarnya adalah pelabur.
Dalam pasaran lelong, kebanyakan pembeli adalah pelabur. Setiap satu daripadanya mungkin memiliki beberapa hartanah kos rendah yang kemudian disewakan dengan kadar tinggi kepada pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin.
Ini seterusnya meletakkan kediaman yang sepatutnya hanya untuk rakyat Malaysia dalam pasaran terbuka.
Data PropertyGuru menunjukkan nilai rumah kos rendah hingga sederhana meningkat 220% hingga 230% kira-kira 35 tahun selepas jualan pertama.
Thor menjelaskan, kediaman ini lazimnya naik nilai harganya disebabkan subsidi yang diberikan kerajaan.
Kerajaan mengenakan moratorium terhadap penjualan kediaman bersubsidi, tetapi ini biasanya hanya untuk tempoh lima atau 10 tahun. Sebaik memasuki pasaran, nilainya pantas melonjak malah adakalanya sehingga 95% bagi rumah berusia 20 tahun.
Ini seterusnya menarik pelabur dengan ada antara mereka sanggup membuat bayaran secara tunai.
Felo Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Shankaran Nambiar, menyifatkannya sebagai “ketirisan” dalam sistem dan berkata, perumahan disubsidi akhirnya akan memanfaatkan golongan kaya, bukannya orang miskin yang lebih memerlukannya.
“Kelompok rumah kos rendah akan berkurangan (jika ini dibiarkan berterusan),” katanya kepada FMT Business.
Tinjauan di sebuah syarikat lelongan hartanah menunjukkan banyak hartanah kos rendah hingga sederhana di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur yang tersenarai untuk dilelong telahpun dibeli, namun pembelinya tidak memenuhi profil B40.
Data daripada jurulelong mendedahkan pembeli sama ada sudah memiliki beberapa hartanah, atau melibatkan syarikat pelaburan hartanah yang membuat pembelian bagi tujuan menyewa. Ramai daripadanya berpengalaman luas dalam proses lelongan.
Malah kediaman yang tertakluk di bawah moratorium jualan – ada antaranya termasuk dalam skim kediaman kos rendah Rumawip dan Rumah Selangorku – turut dijual.
Dalam jawapan bertulis kepada FMT Business, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Juhari Ahmad berkata, tiada sekatan atau syarat diletakkan untuk penjualan hartanah seperti itu dalam lelongan awam.
“Bagaimanapun, sebagai agensi yang bertanggungjawab memantau harga, khususnya bagi segmen kos rendah, kami mewajibkan pembida yang berjaya supaya mendaftar dan mengisytiharkan bahawa hartanah mereka telah dibeli melalui lelongan awam apabila mahu memindahkan hak milik,” katanya.
Ahli Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) Khairudin Abd Hali bagaimanapun memberitahu FMT Business bahawa syarat tertentu perlu dipenuhi di bawah Pendaftaran Hak Milik sebelum pemilikan hartanah yang disenaraikan sebagai “kos rendah” boleh dipindahkan kepada pihak lain.
Bagi memastikan pemindahan berjaya dilakukan, pemilik baharu mesti mematuhi syarat berkaitan, antaranya pendapatan isi rumah bawah RM10,000 sebulan, selain pembeli tidak boleh memiliki hartanah lain.
Khairudin yang juga pakar industri dan profesor di Fakulti Alam Bina Universiti Malaya berkata, kerajaan perlu menyemak kelayakan dan dasar melibatkan rumah kos rendah.
Di bawah Bajet 2022, sejumlah RM1.5 bilion diperuntukkan untuk perumahan kos rendah, iaitu peningkatan daripada RM1.2 bilion ditetapkan bagi Bajet 2021.
Thor mendedahkan data dari PropertyGuru menunjukkan hanya satu dalam lima pembeli rumah kos rendah hingga sederhana mampu memiliki kediaman persendirian – dan di kawasan seperti Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat, mereka hanya mampu membeli flat kos rendah.
Ini mencetuskan kebimbangan terhadap nasib golongan yang kediaman mereka dilelong akibat perampasan. Data jurulelong menunjukkan sejumlah besar rumah seperti itu telah dibiayai di bawah skim LPPSA.