Belanjawan awal bermaksud pilihan raya sebelum musim tengkujuh, kata penganalisis
PETALING JAYA: Pilihan raya umum mungkin diadakan sebaik sahaja pembentangan Belanjawan 2023, kata penganalisis politik mengulas keputusan kerajaan membentangkan dokumen itu, tiga minggu lebih awal daripada dijadualkan.
Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata tarikh pembentangannya yang diawalkan itu untuk mengelakkan pilihan raya diadakan pada hujung November, iaitu ketika musim tengkujuh.
Belanjawan itu dijangka dibentang pada 7 Okt berbanding 28 Okt seperti jadual awal, dengan Dewan Rakyat mula bersidang pada 3 Okt.
Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata beliau percaya Parlimen pasti dibubarkan selepas belanjawan itu dibentangkan, terutamanya jika tidak diluluskan Dewan Rakyat.
Mengikut perlembagaan, sebuah kerajaan akan tumbang jika belanjawan tidak diluluskan.
Azmi berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan memohon pembubaran Parlimen. “Ismail akan berkata beliau tidak ada pilihan,” kata Azmi kepada FMT.
Jeniri pula berkata Parlimen berkemungkinan besar tetap dibubarkan meskipun belanjawan itu diluluskan.
Seorang lagi penganalisis, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata pembentangan awal belanjawan itu bertujuan meredakan keraguan ahli akar umbi Umno terhadap Ismail yang merupakan naib presiden Umno.
Pilihan raya umum mesti diadakan selewat-lewatnya September tahun depan, tetapi beberapa pemimpin Umno mendesak ia diadakan tahun ini susulan kemenangan meyakinkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri.