RAJA MEDIA SOSIAL, PERDANA MENTERI FB KINI SEAKAN SUDAH HILANG GAGAH BERANINYA

 

Ketika menyeru ahli-ahli UMNO agar memberikan solidariti kepada Najib Razak yang kini berada di saat-saat genting, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai “Raja Media Sosial”.

Memang tidak dinafikan, sejak hilang jawatan Perdana Menteri pada 2018, Najib adalah “Raja Media Sosial” di negara ini dan banyak pihak lain pula melabelnya sebagai “Perdana Menteri FB”.

Ini kerana di laman FBnya, semua benda Najib cuba tunjuk pandai dan gagah perkasa seolah-olah tiada langsung rasa lemah serta takut dalam dirinya.

Tun Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Mahiaddin Md Yasin, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng, Rafizi Ramli dan malah sesiapa saja, semua disanggahnya dengan gaya pandai dan serba tahunya dalam semua perkara.

Berkali-kali beliau turut menyatakan tidak pernah takut kepada sesiapa dalam perjuangannya dengan sesekali pula memetik ungkapan popular Anwar – lawan tetap lawan.

Lantaran itulah juga beliau buat pertama kali dalam hidupnya sedia berdebat dengan Anwar, meski kemudian diketahui banyak syarat-syarat diletakkannya.

Ketika kempen PRK atau PRN, Najib sentiasa saja mempamerkan dirinya berkempen di tempat-tempat kunjungan ramai bagi menunjukkan kehadirannya sentiasa mendapat perhatian.

Pantang jumpa mikrofon di pentas ceramah atau konvensyen, atas kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, suatu jawatan baru yang diwujudkan khas untuknya, Najib seolah-olahnya adalah panglima perang yang ucapannya penuh dengan cara dan kaedah bagaimana untuk memenangi pilihan raya.

Kadang-kadang mendengar ucapannya itu menjadikan ramai orang terlupa bahawa UMNO dan BN buat pertama kali telah hilang kuasa di bawah kepimpinannya.

Itulah Najib sejak 2018 yang lalu.

Bagaimanapun gaya hebat serta gagahnya di media sosialnya seperti telah berakhir semalam.

Dalam meluahkan rasa kecewanya semalam kerana permohonan peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri ditolak oleh mahkamah dengan sebelum itu permohonan membawa bukti baru dan menangguhkan pendengaran rayuan juga ditolak oleh Mahkamah Persekutuan, Najib yang dulunya gagah dan sedia melawan, tiba-tiba sudah bertukar lemah serta merintih inginkan simpati.

Ternampak tiada langsung semangat melawan seperti yang ditunjukkan oleh Anwar atau beberapa pemimpin dunia lain yang kental perjuangan mereka dalam berhadapan kes di mahkamah.

“Saya ingin merekodkan bantahan saya yang paling kuat berhubung prosiding rayuan hari ini, dengan hak saya untuk hidup, kebebasan dan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil dipertaruhkan.

“Dan para peguam saya, yang telah cuba menarik diri mereka sendiri kerana mereka tidak dapat atau sanggup mewakili saya lagi, masih dipaksa oleh Mahkamah Persekutuan untuk terus duduk di bangku peguam bela dengan tujuan bahawa saya diwakili.

“Dalam keadaan peguam saya tidak bersedia untuk rayuan ini, bermakna saya tidak mempunyai peguam yang berkesan.

“Saya kini berada dalam situasi di mana hak saya untuk mendapatkan peguam dan perbicaraan yang adil cuma ilusi,” tegas Najib lagi.

Begitu pun Najib menafikan motifnya itu adalah untuk melengah-lengahkan kes rayuannya.

“Saya tidak malu untuk mengatakan, saya terdesak,” tambahnya lagi.

Apa yang menghairankan di sini, dalam usaha untuk meneruskan pembelaannya dan oleh kerana tarikh rayuan kesnya untuk didengar sudah lama ditetapkan, beliau sepatutnya marah kepada peguamnya yang mahu menarik diri daripada mewakilinya itu.

Malangnya yang dijadikan sasaran kekecewaan dan bantahan ialah hakim serta Mahkamah Persekutuan kerana menolak penangguhan perbicaraan.

Tidak ada terdengar Najib meluahkan rasa kecewa dan terkilan terhadap peguamnya.

Dalam hal ini, benarkah tujuan sebenar Najib bukan untuk melengah-lengahkan perbicaraan selama tiga atau empat bulan lagi, mungkin dengan harapan dalam tempoh penangguhan tersebut, Parlimen akan dibubarkan dan PRU15 akan diadakan terlebih dahulu?

Apa pun, meneliti kenyataan media Najib semalam, wataknya daripada “Raja Media Sosial” dan “Perdana Menteri FB” telah berubah dengan sekelip mata.

Selain keceriaan di wajahnya tidak lagi kelihatan, watak gagah, berani, suka mencabar dan gemar “mentroll” lawan politiknya sebagaimana yang gemar dilakukannya selama ini seakan sudah melayang pergi daripada dirinya.

Di kala ini, perkataan lawan tetap lawan juga barangkali sudah terpadam terus daripada memorinya.

Najib kini adalah sosok yang kelihatan lemah dan penuh simpati di sebalik hari-hari penentuan semakin dekat menghampirinya. – ShahbudinHusin 19/08/2022.