Malaysia minat belajar guna kanabis dalam perubatan dari Thailand.
BANGKOK: Malaysia berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kanabis, terutama dalam aspek aplikasi berasaskan penyelidikan dan produk farmaseutikal untuk kegunaan perubatan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Beliau juga berharap Malaysia dan Thailand akan terus saling bertukar pengetahuan teknikal dan penyelidikan klinikal untuk memastikan keselamatan serta keberkesanan produk kanabis dalam perubatan.
“Pegawai kami (Malaysia dan Thailand) masih meneruskan pertukaran maklumat teknikal supaya kami lebih memahami bukti klinikal penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan serta kerangka kerja pengawalseliaan baharu,” katanya dalam sidang media bersama rakan sejawatannya, Anutin Charnvirakul, di sini semalam.
Khairy dalam lawatan kerja empat hari atas undangan Anutin, yang juga timbalan perdana menteri Thailand.
Terdahulu, Khairy melawat Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) dan diberi taklimat mengenai dasar perubatan kanabis di Thailand, termasuk amalan, kaedah penanaman dan penyelidikan serta penggunaan kanabis dan ketum untuk tujuan kesihatan.
Pada 9 Jun lalu, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk perubatan.
Khairy berkata, beliau dan Anutin turut berbincang mengenai potensi dan peluang Thailand membekalkan produk kanabis kepada Malaysia melalui GPO untuk tujuan penyelidikan klinikal bagi keselamatan dan keberkesanan penggunaan produk kanabis.
“Saya turut meminta Anutin mengkaji kemungkinan Malaysia membekalkan Thailand dengan daun dan pokok ketum mentah,” katanya.
Beliau berkata, penanaman kanabis menawarkan sumber pendapatan baharu untuk petani dan orang ramai.
Ditanya sama ada Malaysia bercadang membenarkan penggunaannya untuk tujuan perubatan, Khairy berkata: “Jika terdapat bukti klinikal yang membolehkannya”.
“Antara ilmu penting yang diperoleh daripada pengalaman di Thailand ialah mengenai data klinikal dan data yang dikumpul sejak penggunaan kanabis untuk perubatan.
“Sekiranya kami berpuas hati dengan data itu, pasti akan mempengaruhi kami untuk membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.”
Katanya, langkah Thailand menerajui usaha membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan ialah contoh baik di rantau Asean dengan negara anggota lain boleh menggunakan data yang ada bagi merangka dasar.
Sementara itu, Anutin berharap dapat berkongsi pengalaman Thailand dalam perubatan kanabis dengan Khairy dan Malaysia.
Anutin juga berbesar hati untuk berkongsi pengalamannya tentang proses membenarkan kanabis dalam perubatan.
Terdahulu, Khairy melawat Hospital Antarabangsa Bumrungrad, antara hospital swasta terbesar di Asia Tenggara, untuk mempelajari amalan terbaik dalam pelancongan perubatan.