Nampaknya YAB MB sekarang atau team medianya kena segera
menjawab sebelum apa yg didedahkan ini menjadi satu fakta pahit yg perlu
ditelan oleh rakyat di Kedah.
Jangan dok gempaq merata, habaq kata kononnya ada segala fakta
dan dokumen, tapi tak dedah2kan sampai la ni.
Rakyat Kedah akan teruih perati. Jangan ingat rakyat Kedah bodo
piang mcm para walaunta-walauntit yg akan percaya bulat2 tanpa berfikir waras.
Pikiaq2lah seniri...
################################
Bekas MB tampil dedahkan hubungan antara Sanusi dan syarikat yg
didakwa gondol Gunong Inas
Negara Merdeka
July 12, 2022 6:12 pm
Keputusan untuk menukar tanaman pokok getah klon balak (TLC)
kepada durian musang king di Gunung Inas dilakukan bawah kerajaan Barisan
Nasional (BN) ketika ditadbir oleh Menteri Besar Kedah ketika itu, Datuk Seri
Ahmad Bashah Md Hanipah.
Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata,
anak syarikat kerajaan negeri, Kedah Agro Sdn Bhd yang sebelum itu diamanahkan
untuk menanam semula kawasan tersebut gagal melaksanakannya menyebabkan Aman
Mega Sdn Bhd dilantik mengambil alih tanggungjawab itu.
Menurutnya, bagaimanapun syarikat berkenaan kemudiannya bertukar
pemilik selepas dibeli oleh syarikat ECK.
“Ketika Ahmad Bashah terajui Kedah, ECK dibenarkan menanam durian.
“Untuk makluman, syarikat ECK juga menaja pasukan bola sepak
Kedah ketika itu, yang kemudiannya dianugerahkan projek mega lapangan terbang
antarabangsa (KXP) oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor,”
katanya dalam kenyataan akhbar yang dilaporkan Sinar.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, terkini difahamkan Muhammad
Sanusi membatalkan anugerah terbabit kerana akhirnya terbukti ECK tidak mampu
melaksanakan projek mega tersebut, seperti yang pernah beliau bangkitkan
beberapa kali sebelum ini.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Jerlun itu berharap tiada lagi
pihak tertentu yang membuat tuduhan liar terhadap beliau dan kerajaan negeri
pimpinannya ketika mentadbir Kedah sebanyak dua kali, semata-mata untuk
mengaburi mata rakyat daripada kebenaran.
“Kebanyakan komen berkaitan penanaman durian musang king
dianggap antara punca berlakunya bencana, namun perlu dilihat kawasan Hutan
Simpan Kekal di Gunung Inas telah ditukar statusnya kepada ladang pertanian
oleh kerajaan BN pada 2007, dijenamakan kepada Ladang Sejahtera oleh kerajaan
Pas pada 2008.
“Untuk melaksanakan ladang di tanah hutan, tentunya pokok hutan
perlu ditebang. Yang ditebang bukan hanya pokok bernilai tinggi, tetapi
ditebang bersih atau ‘cuci mangkuk’ untuk tanaman semula pokok TLC atau pokok hutan
yang diluluskan Jabatan Perhutanan.
“Inilah yang dilakukan kerajaan Pas seperti diakui Menteri Besar
sendiri. Adakah kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dibuat pada ketika
tebang bersih itu dilakukan?” soal Mukhriz.
Menurut Mukhriz yang menerajui Kedah sebagai Menteri Besar
bermula Mei 2013 hingga Februari 2016 di bawah era Barisan Nasional (BN)
manakala antara Mei 2018 hingga Mei 2020 bawah era Pakatan Harapan (PH),
sekitar 2012-2013, beliau antara pihak yang membantah projek Ladang Sejahtera di
Kedah.
“Saya bantah bukan kerana pokok yang hendak ditanam, tetapi
kerana hutan simpan digondolkan".
“Malah pengalaman projek Ladang Rakyat di Kelantan oleh kerajaan
Pas di sana menunjukkan kerja-kerja penanaman semula tidak dilakukan secara
serius, mengakibatkan banjir di negeri tersebut,” ujarnya.
Mukhriz memaklumkan, apabila kembali sekali lagi pada tahun 2018
dan menjadi Menteri Besar Kedah, beliau memutuskan untuk mengehadkan penanaman
durian kepada hanya 20 peratus kerana kerja penanaman sudah mencapai tahap
tersebut.
“Jabatan Alam Sekitar benarkan peratusan itu untuk tanaman
selain TLC dan tujuh spesis pokok hutan yang lain.
“Perlu diingatkan, penanaman semula walaupun melibatkan kerja
teres tanah, bukanlah punca hakisan tanah dan banjir.
“Bencana tidak akan berlaku sekiranya hutan simpan tidak
disentuh untuk pembalakan pokok bernilai tinggi serta aktiviti tebang bersih
atas alasan Ladang Sejahtera sebelum 2013,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mukhriz selaku Presiden Parti Pejuang Tanahair
(Pejuang) turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam
tragedi banjir dan kepala air di Kupang, Baling pada petang Isnin lalu yang
meragut nyawa tiga mangsa.
“Jentera sukarelawan Pejuang turut turun padang membantu mangsa
dengan mengedarkan makanan bermasak selain mencuci rumah yang dimasuki lumpur,”
katanya.
Pada Isnin, Muhammad Sanusi tegaskan, kelulusan ladang hutan
untuk tanaman getah TLC di Gunung Inas dilakukan pada era pemerintahan BN pada
2007, bukannya oleh kerajaan Pas pimpinan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul
Razak.
Beliau maklumkan kawasan ditanam durian musang king terbabit
dipercayai dilakukan penebangan balak antara tahun 2018 dan 2019.
Sebelum itu, Mukhriz menafikan dakwaan kerajaan Kedah
pimpinannya sebelum ini mempunyai kaitan dengan projek ladang durian musang
king di Gunung Inas, yang dikaitkan antara punca tragedi kepala air di Baling.
Link asal berita