Muafakat Nasional: Jangan salahkan UMNO, Bersatu tidak ikhlas - Shahril Hamdan
Madiha Abdullah
Ogos 4 , 2022
Shahril berkata, UMNO tidak melengahkan penubuhan gabungan tersebut, namun proses berkenaan tergendala disebabkan penubuhan Perikatan Nasional (PN). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin itu dilihat tidak ikhlas untuk menjayakan usaha tersebut.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, UMNO tidak melengahkan penubuhan gabungan tersebut, namun proses berkenaan tergendala disebabkan penubuhan Perikatan Nasional (PN).
“Surat jemputan untuk Bersatu menyertai MN yang ditandatangan UMNO dan Pas, kita hantar pada 13 Ogos 2020. Surat sudah dihantar, tetapi 16 hari selepas itu, PN tiba-tiba melancarkan logo dan bendera mereka.
“Jadi, tiada siapa yang tangguh. Kita hantar surat tetapi tiba-tiba PN dilancarkan. Kemudian kita selidik macam mana tiba-tiba boleh lancarkan PN, rupa-rupanya PN diam-diam didaftarkan pada 7 Ogos 2020. Jadi dia daftar PN baru dia terima surat MN.
“Jadi jangan salahkan UMNO kononnya melengahkan kemasukan Bersatu dalam MN sedangkan kalau sudah buat PN nak menggantikan MN, sudah tak relevan soal surat jemputan kepada Bersatu itu,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebooknya pada Rabu.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa sikap pemimpin UMNO yang menimbulkan masalah menyebabkan penubuhan MN tertangguh sehingga kini.
Dalam pada itu, Shahril menyifatkan keyakinan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN terhadap keupayaan gabungan itu untuk menang 100 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, tidak lebih daripada kata-kata pembakar semangat.
Jelasnya, dakwaan Muhyiddin yang mengatakan bahawa kerajaan negeri Terengganu di bawah Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya menunaikan 100 peratus manifesto dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) juga boleh dipersoalkan.
Tambah Shahril, selain beberapa inisiatif telah pun dimulakan di bawah kerajaan BN sebelum ini yang hanya diteruskan di dalam manifesto Pas, kerajaan negeri itu masih belum memenuhi manifesto asli yang dirangka sendiri oleh pentadbiran di bawah pentadbiran Ahmad Samsuri.