Mahkamah tempat terbaik buat Najib, buktikan beliau serba tahu seperti di media sosial - Rafizi




 Pendengaran rayuan kes korupsi dana SRC International oleh mantan Perdana Menteri Najib Razak yang bermula hari ini di Mahkamah Persekutuan adalah forum terbaik untuk rakyat mengikuti 'kehandalan' Ahli Parlimen Pekan itu.


Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, Najib yang membina reputasi di media sosial sebagai manusia serba tahu dan serba bijaksana bolehlah memperlihatkan bakat di hadapan hakim hakim Mahkamah Persekutuan dinilai dan dihakimi.


"Inilah tempat terbaik untuk Najib Razak membentangkan fakta, bukannya di Facebook seperti yang dia buat selama ini. Di mahkamah ada peraturan yang mengatur penghujahan kita mengikut undang-undang, supaya tidak berbohong dan putar alam


"Saya selalu turun naik mahkamah semasa Najib berkuasa dan diteruskan pula semasa PH berkuasa. Saya menang semua 14 kes-kes saya berdasarkan hujah perundangan mengikut fakta.


"Sebab itu bagi saya, bila ke mahkamah ini kita akan berani jika kita benar.


"Semua kes saya melibatkan pembongkaran skandal-skandal kewangan kerajaan bermula NFC, 1MDB, Tabung Haji, MARA dan LTAT. Malah, Najib dan Rosmah sendiri menarik balik saman mereka berhubung dakwaan saya, yang dana negara diselewengkan sedang Rosmah bermewah membeli barang kemas mahal.


"Jika kita ada fakta, maka mudah kita berdepan di mahkamah," kata Rafizi.


Dalam 'kenyataan pengantar' kes mahkamah Najib itu, Rafizi mengimbas kembali kes bersabit penggelapan wang pencen rakyat daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan yang masuk ke dalam akaun bank mantan PM ke 6 itu.


Wang tersebut, kata Rafizi digunakan keluarga Najib untuk membeli barang kemas mewah, membayar kad kredit dan sebagainya yang bukti dari segi “money trail” cukup jelas, dan dakwaan wang itu datang dari penderma Arab telah dibuktikan di mahkamah sebagai pembohongan semata mata.


"Sebab itu saya malu bila ada bekas pemimpin negara sebegini.


"Kepada anggota Umno, dia beri arahan menjawab dan membalas setiap pendedahan saya dalam masa 3 jam.


"Sebab itu akhirnya semua pendedahan saya yang terbaru tidak dijawab, sebaliknya diputar dengan pelbagai tuduhan yang kononnya saya Raja Fitnah


"Di mahkamah pula, Najib mencari segala alasan untuk melambatkan kesnya. Di FB tangkas dalam 3 jam, di mahkamah kalau boleh 30 tahun lagi mahu dipanjangkan.


"Di FB, dia serba tahu dan serba benar. Di mahkamah dia serba tidak tahu dan serba tidak ingat," ujarnya.


Dalam pada itu, Rafizi juga memuji Hakim Mahkmah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib lebih setahun lalu.


Beliau berkata Nazlan merupakan senior beliau di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan lulusan universiti Oxford. Kemudian menjadi hakim pada usia muda.


"Tokoh begini sepatutnya kita sanjung dan jadi inspirasi kepada anak-anak muda, bahawa kita boleh berjaya dan dihormati tanpa perlu rasuah di negara ini.


"Najib yang selalu memainkan sentimen Melayu, bila kantoi di mahkamah, menggerakkan kempen fitnah menuduh Datuk Nazlan sebagai seorang yang terpalit dengan rasuah. Ia diulang-ulang oleh anggota Umno yang mengundang 'dosa kering' setiap hari.


"Memfitnah saya dengan pelbagai tuduhan yang direka, itu boleh diterima kerana saya ahli politik.


"Memfitnah Nazlan, anak Melayu terbilang yang mewakili jati diri orang Melayu, yang dihormati rakyat pelbagai kaum, adalah satu perbuatan terkutuk.


"Saya berdoa supaya Allah melindungi hakim-hakim kita yang jujur dan adil. Sama-sama kita doakan supaya hakim-hakim yang jujur dipermudahkan urusan mereka dan kebenaran ditegakkan di negara ini," katanya.


Rafizi mengharapkan agar kebenaran akhirnya ditegakkan dalam perbicaraan akhir kes SRC Najib di Mahkamah Persekutuan yang bermula hari ini dan untuk 9 hari berturut turut ke hadapan.