Laporan forensik mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) yang baru dinyah klasifikasi mengaitkan individu bernama Zainab Mohd Salleh dalam “urus niaga yang meragukan” yang dikenal pasti dalam laporan itu.
Laporan itu juga menyebut bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad adalah suaminya, hanya beberapa jam selepas menteri itu menafikan dakwaan bahawa Zainab adalah isterinya.
“Thierry (Barrier) memegang satu saham, yang dia pindahkan kepada Abdul Latiff Ahmad. Adalah diperhatikan bahawa Abd Latiff adalah pasangan kepada Zainab,” kata laporan itu mengenai audit 2019.
Pengauditan forensik itu diperintahkan oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dan dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd.
Ia adalah audit kedua daripada dua laporan audit yang diarahkan oleh kabinet untuk dinyah klasifikasi pada 10 Ogos.
Dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan di Facebook, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussien berkata BHIC telah bersetuju untuk menyah klasifikasi laporan itu, yang kini disiarkan di laman webJawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Namun, banyak bahagian laporan telah disunting termasuk beberapa perenggan yang dipapar sejurus sebelum hubungan yang dikatakan antara Abdul Latiff dengan Zainab disebut.
Sumber rujukan juga tidak termasuk dalam dokumen yang dinyah klasifikasi.
Mengulas laporan itu, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki bertanya siapa yang bercakap benar.
“Jelas dalam dokumen muka surat 96, menyatakan bahawa Zainab adalah isteri kepada Abdul Latiff Ahmad.
“Siapakah yang menipu, Latiff atau laporan audit forensik?” soalnya di Facebook.
Awal hari ini, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menamakan “jerung besar” yang didakwa terlibat dalam skandal RM6 bilion LCS.
Memetik siasatan dalaman, Rafizi mendakwa bahawa isteri kedua Abdul Latiff, Zainab mengawal dua syarikat iaitu Alizes Marine dan Alizes Marine Labuan, yang merupakan perunding teknikal untuk projek itu.
Rafizi mendakwa syarikat-syarikat ini tidak mempunyai kepakaran, menghantar invois untuk kerja yang tidak dijalankan, dan dilantik sebagai pembekal alat ganti meskipun tidak layak.
Abdul Latiff sebelum ini merupakan timbalan menteri pertahanan ketika bersama Umno, tetapi sejak itu telah menyertai Bersatu.
Dia sebelum ini menafikan Zainab yang dilaporkan media adalah isterinya dan berjanji akan membantu siasatan.
Rafizi menolak penafian Abdul Latiff sebagai “sangat lemah” dan berjanji untuk mendedahkan dokumen yang akan membuktikan hubungan menteri itu dengan Zainab.
Sementara itu, laporan yang baru dinyah klasifikasi itu memetik Zainab sebagai pengarah Sousmarin Armada Sdn Bhd, Alizes Marine, Alizes Marine Malta dan Alizes Marine Labuan.
“Siasatan kami telah mengesahkan bahawa (Sousmarin) dimiliki oleh orang yang sama yang menyamar sebagai Alizes Marine France dengan mempunyai sebuah syarikat bernama Alizes Marine Ltd Labuan untuk mendapatkan dana yang dialihkan melalui Singapura,” katanya.
Laporan itu berkata lebih RM23 juta telah disalurkan melalui tiga syarikat, di mana RM8.26 juta melalui Sousmarin.Bagaimanapun, tak banyak butiran didedahkan kepada umum mengenai dakwaan penglibatan Abdul Latiff dalam skandal itu.
Laporan itu berkata Abdul Latiff dilantik sebagai pengarah sebuah syarikat pada 2015, manakala Broke meletak jawatan pada 2017.
Nama syarikat itu telah disunting tetapi berdasarkan konteks ia mungkin merujuk kepada Ameris Group.
“Selepas pelantikan (Abdul Latiff), modal berbayar dinaikkan kepada RM350,002 yang diwakili oleh 350,002 saham, di mana 245,000 saham dipegang oleh Zainab yang berada di belakang Alizes Marine Ltd dan bakinya oleh Abd Latiff.
“Oleh itu, Thierry dan syarikatnya tidak akan dapat menafikan peranan mereka dalam konspirasi kumpulan Ameris dan Zainab ini,” kata laporan itu.