Peguam perlu bersedia, Najib tidak boleh tangguh kes
Perbandingan perbicaraan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak ketika ini dengan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tiga kes fitnah sepanjang dua dekad lalu tidak wajar diperkatakan.
Menurut Anwar, kes beliau berlainan berbanding Najib. Katanya, dalam perbicaraan kes Fitnah I pada 1998 belum ada laporan polis beliau tetap dituduh di mahkamah. Tiada ikat jamin sepanjang perbicaraan dan terus dipenjarakan bertahun tahun.
Mengenai peguam pula, katanya, beliau pernah kehilangan ketua peguam Karpal Singh yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya, namun kesnya tidak ditangguh.
“Ketua peguam saya meninggal dunia jadi kita minta ditangguh kerana terpaksa melantik. Ini bukan taktik nak melengahkan, buang peguam, kemudian ambil pasukan baru.
“Ini memang mati, bila mati harus diganti. Tidak ada penangguhan, jalan terus.
“Tak usah cakap pengalaman. Yang penting peguam saya dalam sebarang keadaan, baik zaman Raja Aziz, Fernando, Karpal, tidak pernah berdolak dalik, menarik diri atau meninggalkan kes. Mereka lawan biar pun tahu sistem pada masa itu tidak akan melayani fakta,” katanya dalam siaran media malam tadi.
Tambah beliau, keadaan berlainan berhadapan perbicaraan Najib yang mana semua fakta dibenarkan dibawa ke mahkamah.
Tiada had ‘tidak relevan’ sebagaimana perbicaraaan Anwar dalam kes Fitnah I dua dekad lalu.
“Keadaan sekarang jauh berbeza kerana semua fakta dikemukakan sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Jadi harus kita berdepan. Pasukan peguam harus punya tanggungjawab untuk melawan dan memperjuangkan anak guam mereka dalam pertuduhan.
“Mahu anggap tiada apa berlaku tidak munasabah, wang hilang berbilion ringgit. Intan, permata dibeli, ratusan juta ringgit. Belanja sana sini bukti nyata,” kata Anwar lagi.