Himpunan Umno hanya ratib Najib dalam penjara?
Rakyat Malaysia boleh menilai kepimpinan mana yang boleh membela nasib mereka melalui dua himpunan yang dilakukan pada waktu yang hampir sama, Sabtu lalu.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, ketika rakyat dijemput ke pentas Konvensyen Pilihanraya KEADILAN menceritakan derita hidup mereka di hadapan pemimpin parti, di PWTC Taklimat Khas Umno meratib nasib Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak yang sedang dalam penjara.
“Di konvensyen KEADILAN, selain saya dan Datuk Seri Anwar, yang lain semua rakyat biasa. Kami bawa ibu tunggal yang tanam tebu hidup susah, supaya pimpinan yang nak jadi wakil rakyat dengar sendiri. Ini masalah yang kamu kena selesai.
“Orang kurang upaya dia cerita kesusahannya. Kita bawa anak muda keluar univiversiti ekonomi keluarga derita, bapa kena strok, tak dapat kerja jadi rider.
“Umno macam mana? Umno menangis rindu kepada Najib. Orang nak masuk pilihan raya masalah banyak, (Umno) rindu ke Najib.
“Umno panggil (taklimat), ratib, serang, kecam (pembangkang), bubar buat PRU untuk diri dia saja. Dia tak fikir rakyat.
“Alah kesian Najib baru tiga hari dalam penjara, tak boleh dia main FB. Zahid dia menangis, tak tahu menangis sebab Najib ke sebab kes dia. Rosmah menangis tak tahu pasal Najib kah, tetapi kes dia keputusan minggu depan.
“Saya pelik geng Umno. Rakyat marah, orang susah, kamu fikir pasal diri kamu dan perut kamu sahaja. Tak cukup kamu Najib dari umur 26 tahun makan gaji dengan rakyat hingga jadi PM? Zahid dari muda lagi jadi PM. Tak cukup lagi kah,” katanya dalam ceramah jelajah Ayuh Malaysia di Seremban, malam tadi.
Tambah Rafizi, drama air mata Umno tidak seharusnya menarik simpati rakyat yang berfikiran waras.
Pemimpin Umno ketakutan masuk penjara, katanya, sebab mereka berada di pihak yang salah dan imej hitam itu akan menjadi fakta sejarah.
Tidak sama dengan pimpinan KEADILAN yang dihantar ke penjara, tidak ada seorang pun yang menangis.
“Saya dulu nak masuk PRU lepas. Saya dah jatuh hukum 2 kes. Satu 15 bulan dan satu 3 tahun. Patut saya duduk dalam penjara 5 tahun kalau tak menang dalam kes mahkamah sebelumnya.
“Ada saya menangis tak? Tak sedih langsung pun, tak takut. Sebab kita buat benda betul, kita yakin tak makan wang rakyat tak ambil hak orang.
“Sebab itu saya tengok Umno sekarang ini lawak betul. Dulu kamu tekan orang, dakwa orang, ugut, fitnah. Sekarang bila kamu kena tangkap, makan duit, kamu menangis?” tanyanya.
Oleh itu, kata Rafizi, pemimpin Umno bila senang atau susah mereka hanya memikirkan untung nasib mereka dan tidak pernah memikirkan hal rakyat.
“Sebab perbincangan dia, nak pecat ke tidak PM? Kita nak bubar (Parlimen) ke tidak? Nak tukar Peguam Negara ke tidak? Ada kena mengena dengan rakyat ke?” tanya Rafizi lagi.