Wujudkan mekanisme gaji wajar bantu rakyat hadapi inflasi
Kerajaan BN – PN perlu melakukan beberapa mekanisme bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan harga barang dan inflasi melampau.
Naib Presiden KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan perlu bertidak lebih agreasif dan tidak hanya setakat membentuk Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sedangkan pemain besar dalam pasaran yang membentuk kartel dan menyebabkan kenaikan harga tidak diselesaikan.
“Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN yang telah bermesyuarat pada 6 Julai lalu telah membincangkan tentang krisis kos sara hidup yang meruncing sejak akhir-akhir ini.
“MPP menganggap tindakan membakar sentimen menjadikan pekerja asing sebagai kambing hitam atau menubuhkan Pasukan Khas Tangani Jihad adalah tindakan tidak bertanggungjawab oleh kerajaan yang terdesak untuk memenangi hati rakyat.
“Sebaliknya, kerajaan wajib mengambil tindakan lebih tegas dengan memerangi kartel-kartel yang mempunyai kuasa besar di dalam menentukan harga barangan asas di negara ini.
“Malangnya Suruhanjaya Persaingan (MyCC) tidak diberikan sumber dan kuasa secukupnya untuk memecahkan monopoli dan kartel di dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN itu juga mahu kerajaan memperluaskan skop program subsidi bersasar agar lebih banyak rakyat marhaen dapat dibantu.
Beliau juga menyarakan agar kerajaan memperkenalkan mekanisme gaji wajar bagi membantu mengurangkan beban hidup rakyat.
“Kerajaan harus memperluaskan program-program bantuan rakyat dan insentif cukai secara bersasar, bukan untuk golongan B40 semata-mata tetapi untuk golongan sederhana juga yang terkesan dengan krisis kos sara hidup tetapi tidak layak mendapat banyak bantuan kerajaan.
“MPP merasakan masanya sudah tiba untuk Kerajaan melihat mekanisme gaji wajar (living wage) yang pernah dicadangkan oleh Bank Negara pada 2017 lalu sebagai satu mekanisme nilai tambah kepada gaji minima untuk menggalakkan kenaikan gaji secara lebih saksama dan realistik berkadar langsung kepada kos sara hidup setempat,” katanya lagi.