Sultan Sulu beri notis 2017, Najib tak buat apa apa?
Kecuaian dan kelalaian pentadbiran mantan Perdana Menteri Najib Razak mengakibatkan Malaysia terpaksa berdepan tindakan perampasan aset di luar negara oleh pewaris Kesultanan Sulu.
Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berkata demikian usai membuat laporan polis ke atas Najib di Balai Polis Setiawangsa, pagi tadi.
Menurut Rafizi, Najib sebagai ketua pentadbir seharusnya menyelesaikan notis saman yang diterimanya dari pewaris Kesultanan Sulu pada November 2017 dengan melibatkan pegawai undang undang negara dan tidak membiarkan perkara itu berlalu tanpa ditangani secara wajar.
“Dia bermula daripada keputusannya menghentikan bayaran (kepada Kesultanan Sulu)
“Kita tidak tahu Najib dapat notis yang pertama pada 2017. Saya selalu kena saman jadi saya tahu bagaimana tindakan bila mendapat surat tuntutan.
“Setakat ini tidak ada tanda tanda selepas Najib dapat surat pada November 2017, terdapat sebarang maklum balas dari pentadbiran beliau,” katanya dalam sidang media di hadapan Balai Polis Setiawangsa.
Sebaliknya kata Rafizi, apa yang Najib lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini hanyalah ‘menulis semula kebenaran’ atau peristiwa yang menunjukkan beliau tidak melakukan apa apa kesilapan dalam pentadbiran.
Oleh itu, Rafizi menyarankan individu rakyat yang ingin membuat laporan polis agar melakukannya di bawah hak mereka sebagai warganegara Malaysia
Menjawab soalan media, apakah yang diharapkan daripada laporan polis tersbeut, Rafizi berkata sederhana. Beliau mengharapkan pihak polis menyiasat dan mengambil keterangan Najib sebagaimana beratus ratus individu yang membuat laporan dan akan diambil keterangan.
“Saya faham bila siasatan dibuat, itu terpulang kepada pihak berkuasa (untuk pendakwaan). Cuma saya berharap paling kurang kenyataan diambil dari Datuk Seri Najib. Sudah tentu kuasa menentukan dakwaan kita tak campurtangan.
“Paling kurang saya berharap pihak berkuasa ambil kenyataan dari dia (Najib) sebagaimana kami memberi kenyataan,” katanya lagi.