RUU Anti Lompat Parti terpenting dalam MoU
Rang Undang Undang Anti Lompat Parti merupakan bahagian terpenting dalam Memorandum Kerjasama (MoU) antara Pakatan Harapan dan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbahasan RUU tersebut merupakan permulaan baik kepada integriti ahli politik di Malaysia.
“Saya ingin menyatakan bahawa pindaan ini, anti lompat parti, antara perkara pokok yang dimeterai MoU PH dan Perdana Menteri (PM).
“Kita telah tetapkan kalau tidak dibentangkan di Parlimen kita anggap MoU terbatal. Saya ucap tahniah kepada PM menunaikan janji sebagaimana dimeterai. Perbincangan diadakan dengan teliti dan apa yang dibentangkan hari ini tidak sepenuhnya memenuhi tuntutan atau usul yang dikemukakan oleh wakil Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat.
“Bagaimanapun kita ambil kira pandangan yang lain dan saya kira ini satu permulaan yang amat bermakna, sangat bersejarah.
“Dia ada kesan dari segi undang undang moral dan integriti Ahli Parlimen dan tidak dianggap sebagai penjual maruah dan khianat kepada amanah yang diberikan,” katanya dalam perbahasan Dewan Rakyat, sesi pagi.
Sesi membahaskan RUU Anti Lompat Parti akan mengambil masa selama dua hari dan pada hari ini sesi hanya akan berakhir pada jam 8:00 malam dan disambung pada jam 10:00 pagi esok.