Dari Rafizi Ramli
27 Julai 2022
POTONG GAJI MENTERI KERANA GAGAL, BUKAN UNTUK KAWAL INFLASI
Kenyataan Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Pasukan Khas “Jihad
Tangani Inflasi” yang memperlekehkan desakan agar gaji menteri dipotong akibat
krisis kenaikan harga barang adalah bongkak.
Beliau membentak gesaan itu dengan menuduh kononnya itu satu
permainan politik kerana “tidak ada negara yang berjaya turunkan inflasi
selepas memotong gaji menteri”.
Beliau lupa bahawa di negara-negara lain, layanan kepada
menteri-menteri yang gagal menguruskan ekonomi sehingga menyusahkan rakyat
adalah lebih keras dari potongan gaji. Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada
yang dipenjarakan.
Oleh itu, desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji
bukanlah untuk mengurangkan harga barang. Ia perlambangan hasrat rakyat
kebanyakan mengenai beberapa perkara berhubung kemelut kenaikan harga barang
sekarang:
1. Potongan gaji menteri adalah satu isyarat dari rakyat bahawa
menteri-menteri telah gagal menjalankan tugas menguruskan ekonomi sehingga
kenaikan harga tidak terkawal dan menekan rakyat
2. Potongan gaji menteri memaklumkan rakyat bahawa
menteri-menteri sensitif kepada kepayahan yang dialami rakyat dan ia satu
bentuk solidariti bersama-sama rakyat
3. Potongan gaji menteri menghantar isyarat bahawa
menteri-menteri juga tidak terkecuali dari penjimatan yang diarahkan kepada
penjawat-penjawat awam, jika tidak peruntukan awam dipotong tetapi
menteri-menteri tetap menikmati kemewahan yang sama
Saya berharap lebih ramai pimpinan masyarakat dan orang ramai
meneruskan desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji untuk membentak
kembali keangkuhan menteri seperti Annuar Musa ini.
Jika tidak, mereka hanya akan mempengerusikan jawatankuasa demi
jawatankuasa yang mengambil berbulan lama sebelum sesuatu keputusan konkrit
diambil. Setelah satu keputusan diambil, berbulan pula masa yang diperlukan
untuk melaksanakan keputusan. Apabila keputusan hendak dilaksanakan,
jawatankuasa yang lain pula ditubuhkan untuk mengkaji masalah yang sama.
Kegilaan ini perlu dihentikan. Hanya melalui desakan rakyat yang
kena kepada poket menteri-menteri, barulah mereka berasa keutamaan (“urgency”)
untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat.
RAFIZI RAMLI