Polis ‘hairan’ golongan berpendidikan tinggi boleh kena scam
PETALING JAYA: Kedah mencatatkan peningkatan kes penipuan dalam talian sebanyak 82% melibatkan kerugian berjumlah RM5 juta dari tempoh 1 Jan hingga 30 Jun lalu, berbanding tempoh sama pada 2021.
Timbalan Ketua Polis Kedah Mohd Roze Shaari, berkata peningkatan itu dilihat membimbangkan kerana masih ramai masyarakat yang mudah terpedaya dengan modus operandi penjenayah.
“Saya sendiri berasa hairan apabila ada antara mangsa yang berpendidikan tinggi turut ditipu dalam aktiviti ‘scam’ ini. Di sini, saya ingin menegaskan bahawa polis sama sekali tidak akan menemu duga atau meminta pengenalan diri mana-mana individu melalui panggilan telefon.
“Kalau ada sebarang kes, individu berkenaan akan dipanggil ke balai polis untuk tindakan selanjutnya. Sekiranya mereka ada menerima panggilan yang mencurigakan, jangan takut untuk maklumkan kepada pihak polis,” katanya menurut Bernama.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang telah ditipu dan melibatkan kerugian wang supaya segera melaporkannya kepada polis bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan lebih cepat.
“Kena pergi lapor awal-awal, ini bila sudah kerugian wang sehingga berpuluh-puluh ribu baru hendak buat laporan polis. Antara alasannya mereka takut dan bimbang akan dipersalah sedangkan mereka merupakan mangsa.
“Bagi kes penipuan haji pula, polis telah membuka kertas siasatan yang melibatkan tiga kes iaitu satu di daerah Kuala Muda dan dua di Kota Setar yang melibatkan jumlah kerugian RM48,000. Ketiga-tiga kes ada kaitan dengan penipuan haji dari agensi yang sama di Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.
Terdahulu, Roze menyambut ketibaan Konvoi Kempen Pencegahan Jenayah Komersial Anti Scam 2022 yang diketuai legenda rock negara, Awie, dan disertai puluhan penunggang motosikal berkuasa tinggi di Alor Setar, hari ini.
Konvoi itu dijadualkan berlangsung dalam tiga fasa dengan yang pertama bermula hari ini hingga 22 Julai meliputi empat negeri di utara Semenanjung iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis diikuti fasa kedua di pantai timur dan fasa ketiga di selatan.
Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, berkata menerusi siri jelajah ini pihaknya berharap masyarakat akan lebih peka berhubung isu scam itu selain dapat memainkan peranan dalam membanteras jenayah tersebut yang kini menjadi musuh nombor satu negara.