PH HARUS BERSATU...JANGAN TERPENGARUH DENGAN KHEMAH BESAR YANG AKAN MEMBAWA RUGI

 

Henti tembak kaki kita sendiri, Khalid beritahu PH




Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, Pakatan Harapan perlu memfokuskan pesaingnya dan mengelakkan pertengkaran dalaman didedahkan kepada umum.

PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menggesa Pakatan Harapan (PH) “berhenti menembak kaki sendiri” dengan berbalah di khalayak ramai.

Katanya, sebarang salah faham perlu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH yang dianggotai pemimpin parti komponennya, iaitu PKR, DAP, Amanah dan Upko.

Beliau berkata, sesetengah salah faham antara pemimpin PH yang diketahui umum tidak sepatutnya berlaku.

“Kita perlu berhenti menembak kaki sendiri,” katanya sambil menambah PH sepatutnya memfokuskan pesaingnya, iaitu Barisan Nasional dan Perikatan Nasional serta “menunjukkan kepada rakyat kemampuan kita untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang”.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Bercakap dalam sebuah perhimpunan PH semalam, Khalid berkata, tiba masanya untuk PH membincangkan strateginya untuk memenangi PRU15.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Romli Ishak ketika berucap dalam majlis sama berkata, orang ramai sudah hilang keyakinan terhadap politik negara.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana orang ramai berperanan memilih pemimpin mereka yang mampu mentadbir negara. Jika kita tidak mengambil berat tentang politik, ia akan menghancurkan negara.”

Beliau menggesa pemimpin PH berkempen di negeri lain dan memberikan contoh apa yang sudah dilakukan di Selangor melalui dasarnya.

“Ini akan membuktikan kita adalah kerajaan yang jauh lebih baik,” katanya sambil menambah ini kerana Selangor menjadi negeri kuat yang ditadbir gabungan itu.

“Kita kuat di Selangor. Tetapi, kita tidak patut menang di negeri ini saja kerana kita tidak akan mampu menguasai kerajaan persekutuan.”

Pakatan Harapan mempunyai 103 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan menguasai kerajaan Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan.

Penggal Parlimen semasa akan tamat pada 16 Julai 2023 dan PRU15 perlu diadakan menjelang pertengahan September 2023.

Tetapi, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan dalam minggu ini berkata, masa terbaik untuk mengadakan PRU15 ialah Oktober atau November ini, dan belanjawan boleh dibentangkan lebih awal bagi mengelakkan PRU15 diadakan pada akhir November dan Disember ketika musim tengkujuh.