PENJELASAN SULU SIRI 1
Nota ini untuk merekodkan pengalaman saya dalam menangani
pertikaian tersebut selepas saya ditaklimatkan mengenainya pada Ogos/September
2019 semasa enam bulan terakhir saya sebagai peguam negara. Pada permulaannya,
saya harus nyatakan bahawa saya tidak lagi mempunyai akses kepada dokumen,
melainkan dokumen yang berada dalam domain awam. Saya berharap artikel ini akan
mendorong mereka yang memiliki fakta yang penuh untuk turut menyertai
perbincangan umum.
2. Perjanjian Pemberian 1878 merupakan asas tunggal dan
eksklusif bagi tuntutan waris Sultan Sulu. Pemberian itu menyerahkan pemunyaan
dan kedaulatan sebahagian daripada Sabah pada masa kini kepada Syarikat Borneo
Utara British untuk selama-lamanya. Ia merupakan peninggalan sebuah empayar. Ia
mirip pemberian Bombay oleh Portugis kepada British pada 1661 dan penyerahan
New York (New Amsterdam) oleh Belanda kepada British pada 1664. Di tanah air,
pemberian Pulau Pinang pada 1786 oleh Kesultanan Kedah dan Singapura pada 1819
oleh Kesultanan Johor; kedua-duanya kepada British dalam hal ini. Namun, tidak
timbul dalam mana-mana pemberian tersebut suatu tuntutan yang serupa ini dalam
abad ke-21 yang berbangkit daripada pemberian untuk selama-lamanya.
Oleh itu, tuntutan Sulu mesti dilihat dalam konteks empayar dan penjajahan. Pemberian tanah milik bangsa lain oleh sebuah empayar kepada empayar yang lain adalah lazim pada abad-abad yang lalu; tuntutan undang-undang melalui proses timbang tara (seperti yang berlaku kini) berabad-abad kemudian adalah suatu perkara baharu.
A) Persetujuan di bawah Perjanjian Pemberian 1878
Tiga bahagian penting dalam perjanjian tersebut berbunyi
seperti berikut:
“Grant by Sultan of Sulu of
Territories and Lands on the Mainland of the Island of Borneo. Dated 22nd
January, 1878.
“We…Sultan of Sulu…hereby grant and cede of our own free
and sovereign will to Gustavus Baron de Overbeck of Hong Kong and
Alfred Dent Esquire of London as representatives of a British Company…forever
and in perpetuity all the rights and powers belonging to us over all the
territories and lands…
“In consideration of this grant…to pay
as compensation to the Sultan the sum of five thousand dollars per
annum.
“In case any dispute shall arise between His
Highness the Sultan his heirs or successors and the said Gustavus Baron de
Overbeck or his Company it is hereby agreed that the matter shall be
submitted to Her Britannic Majesty’s Consul-General for Borneo.”
(penekanan saya)
3. Tiada apa-apa dalam bahagian-bahagian penting tersebut
yang tidak jelas. Ianya digubal menggunakan istilah dan implikasi undang-undang
yang jelas, dan dengan itu, menunjukkan hasrat pihak-pihak. Ia bertujuan untuk
mempunyai kuatkuasa undang-undang.
Perenggan pertama dalam Perjanjian 1878 dengan jelas, terang,
dan nyata memberikan tanah-tanah yang diperihalkan dalam dokumen tersebut
“untuk selama-lamanya dan berkekalan” (for ever and in perpetuity) kepada
dua orang ejen dan wakil Syarikat Borneo Utara British. Dalam apa jua cara
sekalipun, perenggan tersebut tidak dapat ditafsirkan selain sebagai sebuah
pemberian yang dengan jelasnya mempunyai kesan undang-undang bagi memindahkan
pemunyaan tanah tersebut daripada Sultan Sulu kepada syarikat British.
Ia bukannya pajakan, dan tidak pernah dihasratkan untuk suatu
tempoh yang sementara. “Balasan” (consideration) untuk
penyerahan itu ialah pampasan sejumlah 5,000 dolar setahun, yang secara
tersirat juga adalah untuk selama-lamanya. Ianya suatu jumlah yang tetap, dan
tidak tertakluk kepada sebarang kenaikan atau semakan.
4. Kesan undang-undang Perjanjian 1878 telah diputuskan oleh
Mahkamah Tinggi Borneo Utara pada 1939 dalam kes Dayang Dayang Haji
Piandao Kiram (f) lwn Kerajaan Borneo Utara. Berikut kenyataan Ketua Hakim
Macaskie dalam kes tersebut:
“The deed of Cession was a complete and irrevocable grant of
territory and the right reserved was only the right to an annual payment, a
right which is in the nature of movable property.”
B) Kesan Surat Ikatan Pengesahan 1903
5. Pada 22 April 1903, Sultan Sulu menandatangani surat
ikatan pengesahan yang menyatakan bahawa beberapa pulau yang tidak dinamakan
dalam Perjanjian Pemberian 1878 juga diserahkan kepada kerajaan Borneo Utara
British. Selanjutnya, jumlah “wang serahan” (cession money) dinaikkan
sebanyak 300 dolar setahun. Surat ikatan 1903 ini turut ditandatangani Gabenor
Borneo Utara British, EW Birch. Sejak 1903, jumlah pampasan tahunan ditetapkan
sebanyak 5,300 dolar.
C) Keberertian penghakiman Macaskie 1939
6. Kes yang dirujuk dalam perenggan 4 di atas difailkan di
Mahkamah Tinggi Borneo Utara pada 1939 oleh keturunan Sultan Sulu untuk
menentukan siapa di antara mereka yang berhak untuk menerima pampasan tahunan
sebanyak 5,300 dolar. Ia tidak melibatkan Borneo Utara British mahupun Kerajaan
British, yang mana kedua-duanya tidak mempersoalkan kewajipan di sisi
undang-undang untuk terus membayar pampasan sebanyak 5,300 dolar setiap tahun.
Dalam hal itu, pihak menuntut Sulu yang mempunyai pertikaian
sesama mereka dan mereka telah memilih untuk memulakan tindakan undang-undang
di mahkamah Borneo Utara. Pilihan mereka untuk mengambil tindakan undang-undang
di Borneo Utara (dan bukannya proses timbang tara ataupun di mana-mana forum
lain) adalah sangat penting dari segi undang-undang, dan relevan dengan
pertikaian sekarang. Ia satu lagi faktor yang menunjukkan bahawa Borneo Utara
(atau sekarangnya Sabah) merupakan forum yang natural dan wajar (natural
and proper forum) untuk penyelesaian pertikaian yang berkaitan atau
timbul daripada Perjanjian 1878, dan dengan itu mengetepikan sebarang forum
lain.
D) Kesan penubuhan Malaysia pada 1963
7. Kerajaan British menjadi pengganti dalam hak milik (successor
in title) Syarikat Borneo Utara British pada 1946 apabila Borneo Utara
menjadi tanah jajahan United Kingdom. Oleh itu kerajaan British lah yang
membayar pampasan tahunan sebanyak 5300 dolar kepada pihak menuntut Sulu semasa
1946 hingga 1963.
8. Pembentukan Malaysia pada 1963 memberikan peluang untuk
Malaysia menamatkan pembayaran tahunan kepada pihak menuntut Sulu. Bapa
pengasas kita boleh secara mudahnya mempertikaikan bahawa Perjanjian Pemberian
1878 adalah peninggalan penjajah yang tidak mengikat persekutuan yang baharu
ditubuhkan dan British hendaklah kekal melaksanakan kewajipan tahunan untuk
membayar pampasan tersebut.
Malangnya, persekutuan yang baharu sebaliknya memikul
kewajipan undang-undang untuk membayar pampasan tahunan daripada penjajah
British yang ketika itu berundur, tanpa keraguan atau bantahan. Malaysia
membuat pembayaran tersebut setiap tahun dan tanpa gangguan sehingga 2013.
Pembayaran berterusan oleh Malaysia selama 50 tahun adalah bukti kukuh ̶ yang
tidak dapat dipertikaikan ̶ bahawa Malaysia telah mengambil alih kedudukan
Kerajaan British sebagai pengganti dalam hak milik, dan terhalang dari segi
undang-undang untuk mengambil kedudukan yang sebaliknya.
Demikianlah dalam setengah abad itu, kewajipan undang-undang Malaysia untuk membayar pampasan tahunan kepada pihak menuntut Sulu tidak pernah dipersoalkan oleh kerajaan Malaysia.