Pengerusi KEADILAN Kedah ziarah mangsa banjir Baling




 Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah, Datuk Johari Abdul turun menziarahi mangsa banjir di Baling petang semalam.


Menurut beliau keadaan banjir di daerah itu amat buruk dan penduduk di Kampung Iboi, Kupang yang diziarahinya amat terjejas dengan kejadian berkenaan.


"Keadaan di Kampung Iboi ini ibarat "padang jarak, padang terkukur." Banyak kediaman serta harta benda penduduk musnah bahkan ada di antara mereka kehilangan tempat berteduh dan hanya tinggal tapak rumah akibat dihanyutkan arus.


"Kejadian banjir juga telah meragut korban. Sehingga kini 3 kematian telah disahkan oleh pihak berkuasa akibat tragedi ini," katanya.


Ahli Parlimen Sungai Petani itu yang juga Timbalan YDP 2 Majlis Pengakap Negeri Kedah, turut turun bersama anggota pengakap untuk membantu mangsa terlibat.


Katanya, beliau amat sedih melihat suasana di kampung berkenaan serta penderitaan penduduk yang terumbang ambing meneruskan kehidupan.


"Saya turut berkunjung ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SMK Jerai bagi bertanya khabar serta menziarahi mangsa-mangsa yang terjejas banjir ditempatkan di sana.


"Semoga mereka yang terjejas tabah dan sabar menghadapi ujian serta dugaan ini," katanya lagi.