RAFIZI RAMLI
Pengundian untuk memilih 20 orang Majlis Pimpinan Pusat (MPP)
untuk melengkapkan barisan pimpinan KEADILAN 2022-25 akan berlangsung hujung
minggu ini.
Saya mengalu-alukan semua calon yang menawarkan diri untuk
dipilih. Saya juga terus menerima mesej dari anggota seluruh negara mengenai
barisan pimpinan yang ideal untuk meneruskan gelombang suara akar umbi yang
telah dizahirkan bagi pimpinan peringkat atas.
Berikut adalah pandangan saya:
1) Kita wajar memilih calon-calon yang secara jelas menolak
khemah besar. Sebahagian besar anggota KEADILAN di seluruh negara pada dasarnya
menolak khemah besar dan mahu KEADILAN membina kekuatan sendiri. Undilah
calon-calon yang konsisten menolak khemah besar.
2) Pilih calon-calon yang mempunyai kepakaran masing-masing yang
boleh digunakan untuk membina kekuatan parti. Kita wajar menjauhi budaya
mengangkat pemimpin yang hanya mahu mengisi jawatan tetapi tidak berfungsi atau
tidak ada sebarang idea untuk menambahbaik parti.
3) Pilih calon-calon yang tidak pernah terpalit dengan
episod-episod yang membawa masalah kepada parti. Elakkan dari mengundi
calon-calon yang pernah bersekongkol dengan individu atau kumpulan yang telah mengkhianati
parti, atau kumpulan yang membawa budaya bodek/samseng yang ditolak anggota
parti baru-baru ini.
Saya mengambil sikap terbuka dan meraikan semua yang bertanding.
Sebab itu saya mengambil sedikit masa untuk meneliti kelebihan dan peranan yang
boleh dimainkan oleh calon-calon sebelum saya mengumumkan senarai calon yang
saya yakin boleh melonjakkan parti selepas ini.
Oleh itu, saya percaya 25 calon berikut boleh memainkan peranan yang penting selari dengan proses membina kekuatan parti selepas ini, terpulang kepada perwakilan untuk memilih 20 calon terbaik dari kalangan mereka:
(Senarai 25 calon pilihan disenaraikan dalam booklet untuk
dikongsikan)
Saya pulangkan pilihan kepada perwakilan dari seluruh negara.
Kita akan hormati pilihan akar umbi dan saya ingatkan bahawa
saudara-saudari, sebagai perwakilan cabang masing-masing, mewakili kehendak dan
hasrat akar umbi yang mahukan parti terus membina kekuatan sendiri agar kita
kekal di landasan reformasi.