Kalau tidak mahu Anwar, kira bukan khemah besar lagi
Sinar Harian
Julai 12, 2022
Khalid berkata, pendekatan khemah besar membawa maksud penyatuan semua parti pembangkang dengan matlamat utama mengalahkan BN dan PN. - Foto fail
SHAH ALAM : Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad membidas pendirian Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhubung penolakan parti itu yang tidak mahu bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah ‘khemah besar’.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pendekatan ‘khemah besar’ membawa maksud penyatuan semua parti pembangkang dengan matlamat utama mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“'Khemah besar' maknanya semua pembangkang bersatu dan bekerjasama. Kalau tak nak Anwar, bukan khemah besar lagilah.
“Kalau ingin kalahkan BN dan PN, semua mesti ketepikan kepentingan dan kecenderungan peribadi dan utamakan kepentingan negara. Kalahkan BN dan PN, itu yang utama!” tegas beliau menerusi ciapan di Twitternya pada Isnin.
Timbalan Presiden Pejuang, pada Marzuki Yahya pada Ahad dilaporkan berkata, meskipun menerima pendekatan ‘khemah besar’ pembangkang, namun ia tidak boleh menerima kepimpinan Anwar.
Marzuki pada masa sama turut berpandangan pendekatan ‘khemah besar itu bukan satu-satunya penyelesaian terhadap krisis politik semasa di dalam negara.
Idea khemah besar merupakan pendekatan dikemukakan beberapa pemimpin di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri antara parti pembangkang pada PRU akan datang.
Pendekatan untuk mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru itu diusulkan kerana ia dilihat berjaya untuk menewaskan BN pada PRU14 lalu.