Isu SD Umno tak beri kelebihan pada Anwar, kata penganalisis
PETALING JAYA: Penganalisis politik berpandangan bahawa tindakan Anwar Ibrahim yang mengesahkan Umno memberi surat akuan bersumpah (SD) menyokongnya menjadi perdana menteri, tidak memberi sebarang nilai tambah kepada ketua pembangkang itu.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata, ia tidak memberi kelebihan kepada pemimpin itu dalam meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap diri serta gabungan pimpinannya.
“Kelebihan tetap ada pada BN biarpun Anwar mengesahkan pendedahan Tajuddin Abdul Rahman itu. Isu sama pernah didedahkan sebelum ini namun BN tetap berjaya menang pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor,” katanya.
Semalam, Anwar mengesahkan pendedahan yang oleh dibuat bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini bahawa beliau adalah saksi bahawa Umno menghantar SD menyokongnya sebagai perdana menteri kepada Agong.Beliau turut mendedahkan bahawa Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah antara 15 pemimpin Umno yang membuat SD itu.
Anwar yang ditemui dalam satu majlis di Port Dickson itu berkata, Najib ada memberi SD kepada beliau namun dengan syarat bahawa kes mahkamah mensabitkan bekas perdana menteri itu “tidak diteruskan”.
Sementara itu, Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan melihat pendedahan itu akan memberikan lagi kekuatan kepada ahli Umno untuk bersatu kerana mereka percaya ia adalah cubaan menghancurkan parti dari dalam.
“Bagi mereka, kesetiaan ke atas parti lebih utama daripada mempercayai pendedahan tersebut yang dilihat sebagai satu kaedah yang cuba menghancurkan Umno dari dalam.
“Cubaan ini akhirnya menemui kegagalan kerana apa yang didedahkan itu sebenarnya memberikan lagi kekuatan kepada ahli Umno untuk lebih bersatu dan setia kepada parti.
“Memandangkan pendedahan itu adalah isu lapuk dan tidak diambil cakna oleh Umno sendiri, maka ia akan berlalu,” katanya.