Indeks rasuah Malaysia kembali ke krisis 1MDB
Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara yang merudum seharusnya menyedarkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki betapa lemahnya beliau mengendalikan suruhanjaya itu dalam memerangi rasuah, bukannya mempertikaikan ketepatan indeks berkenaan.
Oleh itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli harian melihat sikap Azam yang menganggap peningkatan rasuah di Malaysia hanyalah ‘persepsi’ sedangkan CPI merupakan indeks yang diyakini dan diambil kira oleh pelabur asing sebelum menanam modal.
Kata beliau, berubahnya kedudukan Malaysia dari tangga 62 (2017), 61 (2018), 51 (2019), 57 (2020) dan kembali ke tangga 62 pada 2021 membayangkan rakyat negara ini merasakan amalan rasuah sudah sampai ke tahap semasa skandal 1MDB memuncak pada 2017 lalu.
“Jika saya menjadi Azam Baki, saya akan meletakkan jawatan kerana di bawah kepimpinan saya segala usaha rakyat menolak rasuah seolah-olah sia-sia apabila mereka merasakan keadaan tidak banyak berbeza dengan semasa skandal 1MDB memuncak.
“Kita tidak boleh salahkan rakyat jika mereka merasakan amalan rasuah semakin berleluasa sehingga telah mencapai tahap 2017
“Tanggapan rakyat ini dibentuk dengan mengamati tindakan dan gerak-geri SPRM dalam menangani skandal-skandal besar yang melibatkan berbilion wang negara. Walaupun ada saja ikan-ikan bilis yang ditangkap setiap hari, tanggapan rakyat mengenai amalan rasuah tidak akan berubah jika tidak ada tindakan terhadap jerung-jerung besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mantan Ahli Parlimen Pandan itu mengetengahkan satu contoh bagaimana Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) berhempas pulas mendapatkan kembali sekitar RM1.5 bilion dana awam yang telah diselewengkan oleh peminjam-peminjam terutama syarikat-syarikat yang mempunyai “kabel” besar, dan diluluskan oleh pengurusan BPMB semasa Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Katanya, kesemua kes tersebut adalah kes awam yang sepatutnya disiasat oleh SPRM sejak 2014 tanpa pun perlu ada aduan sekali pun.
“Malangnya, saya bersimpati dengan pengurusan BPMB yang terpaksa mengambil jalan saman sivil untuk mendapatkan kembali dana rakyat ini kerana nampaknya tiada tindakan dari SPRM.
“Pengurusan baru BPMB nampaknya proaktif dengan mengambil jalan saman sivil dengan menyaman dan membekukan aset bekas CEO BPMB (pada ketika itu) dan 26 individu dan syarikat lain yang dituduh menyelewengkan RM400 juta pinjaman kepada Aries Telecom.
“Yang saya pelik, setelah membaca bukti-bukti yang difailkan oleh BPMB melalui saman sivilnya, saya yakin bukti-bukti itu lebih dari cukup untuk SPRM mengambil tindakan jenayah terhadap pelaku-pelaku di bawah Akta SPRM.
“Lebih penting lagi, untuk memastikan tokoh-tokoh yang belum lagi dihadapkan ke muka pengadilan, terutama yang rapat dengan Najib seperti Kenneth Eswaran dan Peter Sondakh (perlu) juga disiasat sepenuhnya setelah syarikat mereka menyebabkan dana rakyat hangus,” katanya.
Manakala soalan paling penting dalam lingkaran skandal pinjaman itu, kata Rafizi, mengapakah sehingga sekarang Najib sebagai Menteri Kewangan yang menjadi bos kepada BPMB waktu itu belum disiasat oleh SPRM, terutama apabila didapati pinjaman-pinjaman itu adalah kenalan-kenalan rapat beliau?
Tentunya, kata Rafizi, kecuaian SPRM dalam menyiasat kes kes yang jelas mempunyai unsur rasuah itu dinilai oleh rakyat dan hal itu telah merosotkan CPI negara.
“Apabila kes-kes yang sudah jelas bukti-buktinya ini pun tidak diambil tindakan sehingga BPMB terpaksa mengambil tindakan saman sivil untuk mendapatkan kembali dana awam, sudah tentulah rakyat merasakan amalan rasuah semakin berleluasa di negara ini.
“Sebab itu kalau saya Azam Baki, saya akan letak jawatan,” sinisnya lagi.