Banjir Baling: 'Saya tahu siapa terlibat, jangan paksa kita dedahkan' - Sanusi
Abd Hadi Che Awang
Julai 18, 2022
Sanusi mengulas mengenai penolakan usul ADUN pembangkang dalam sidang media di Wisma Darul Aman, pada Isnin. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa beliau telah menerima kandungan dokumen dan kronologi berkaitan isu pembalakan dan kelulusan projek durian jenis Musang King di Gunung Inas, Baling daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.
Menurutnya, beliau juga turut mengetahui nama-nama individu tertentu yang telah menandatangani kelulusan bagi projek penanaman durian Musang King di lokasi terbabit.
Bagaimanapun jelas Sanusi, dirinya tidak mahu membuat pendedahan itu kerana memegang kepada prinsip untuk tidak terus bermain 'blame game' sebaliknya fokus kepada jalan penyelesaian terhadap apa yang berlaku.
Beliau turut mendakwa tindakan ADUN pembangkang membawakan dua usul di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini adalah bertujuan untuk memastikan dirinya tidak bersedia untuk menjawab persoalan yang dikemukakan memandangkan belum menerima laporan keseluruhan daripada agensi berkaitan.
Situasi juga akan menyebabkan kumpulan pembangkang di negeri itu akan terus memainkan isu berkenaan sebagai isu politik.
"Pembangkang hari ini (bawa usul dan Speaker menolak), oleh kerana kita tidak dapat laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), laporan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), (dan ketika ini) saya hanya ada kronologi dan laporan daripada Jabatan Perhutanan Kedah,
"Jadi adalah tidak adil untuk merujuk satu jabatan sahaja, dan saya tahu siapa yang sign surat untuk luluskan projek Musang King, saya tahu (mereka) ada dalam (kalangan ADUN-ADUN Pembangkang) ini, jadi jangan paksa kita dedahkan semua ini, saya sudah janji tidak mahu main 'blame game', saya akan be fair kepada semua," katanya.
Sanusi berkata demikian bagi mengulas mengenai penolakan usul ADUN pembangkang dalam sidang media di Wisma Darul Aman, pada Isnin.
Tambahnya, penolakan itu turut dibuat mengikut peraturan Dewan DUN Kedah, yang mana masa yang diperlukan sebelum sesuatu usul dibahaskan adalah 14 hari.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan Speaker DUN, Datuk Juhari Bulat, tetap memberi peluang kepada pembangkang membacakan usul berkenaan sebelum menolaknya bagi perbahasan.
Terdahulu, Juhari menolak dua usul dibawa ADUN pembangkang mengenai perkara berkaitan bencana terbabit.
Menurutnya, beliau menolak usul yang dibawa Datuk Ismail Salleh (PH-Pengkalan Kundor) kerana tempoh notis diberikan ADUN berkenaan terlalu singkat dan tidak mengikut peraturan ditetapkan iaitu 14 hari sebelum tempoh persidangan atau jika diusulkan melalui Menteri Besar, tempohnya adalah tujuh hari.
Manakala penolakan usul dibawa Tan Kok Yew (PH-Derga), dibuat selepas usul tersebut disebabkan oleh masa yang tidak sesuai kerana tindakan secara tergesa-gesa itu sama sekali tidak adil kepada kerajaan dan Speaker.