Demo Turun segera disiasat, report polis ke Najib bila lagi?
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan ke atas peserta perhimpunan aman di Kuala Lumpur, pada 23 Julai lalu kira kira 4 jam selepas perhimpunan tersebut berlangsung.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, merujuk laporan portal Berita Harian “Bantahan harga barang : Polis buka kertas siasatan, 30 individu dikenal pasti”, kertas siasatan himpunan rakyat bawahan itu antara yang paling pantas dibuka.
Namun beliau tertanya tanya mengapakah kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak masih tidak kedengaran dibuka memandangkan laporan polis besar besaran ke atas beliau telah dibuat lebih awal.
“Pada 23 Julai jam 2.00 petang berlangsung perhimpunan bantahan kenaikan harga barang diadakan sekumpulan mahasiswa, wakil NGO dan Parti Politik di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Himpunan berlangsung secara aman tanpa provokasi seperti disiarkan secara langsung di pelbagai media sosial termasuk laman Facebook rasmi KEADILAN, Suara KEADILAN.
“Peserta juga mematuhi arahan pihak polis untuk tidak berarak melebihi halangan benteng anggota polis menuju ke Dataran Merdeka, serta bersurai tepat jam 3.00 petang sebagaimana dipersetujui hasil rundingan bersama pegawai polis bertugas.
“Oleh itu KEADILAN Selangor mempersoalkan tindakan PDRM yang begitu pantas membuka kertas siasatan tidak sampai 4 jam selepas himpunan tamat dan mengenalpasti lebih 30 individu seolah-olah peserta perhimpunan melakukan kesalahan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Ahli Dewan Negeri Seri Setia itu, laporan polis terhadap Najib lebih utama perlu dilayan berbanding bantahan harga barang yang tidak menjejaskan keselamatan negara.
Katanya, kecuaian Najib menyebabkan Malaysia berdepan risiko rampasan aset oleh waris Kesultanan Sulu dan tidak seperti demonstrasi harga barang yang tidak merugikan sesiapa.
“Pada 19 Julai lalu, lebih 200 laporan polis telah dibuat oleh cabang KEADILAN seluruh negara terhadap bekas PM Datuk Seri Najib berhubung dakwaan kecuaiannya menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM 67.5 bilion daripada waris Kesultanan Sulu
“Laporan dibuat bagi membolehkan kertas siasatan dibuka dan tindakan terhadap Najib dapat diambil mengikut peruntukan Kanun Jenayah sedia ada.
“Namun sehingga hari ini tidak ada kertas siasatan dibuka pihak polis. Adakah hal terkait kedaulatan negara dipandang enteng pihak polis tetapi hak rakyat untuk berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan Persekutuan cuba dinafikan,” katanya lagi.
Sehubungan itu KEADILAN Selangor, kata Halimey, menyeru kepada PDRM supaya dapat memikul tanggungjawab dengan penuh amanah dan jangan menjadi alpa sehingga isu yang lebih kritikal melibatkan kedaulatan negara gagal disiasat.