Kenaikan harga barang terutama makanan menjejaskan rakyat bawahan
yang hampir tidak mampu menyediakan hidangan cukup gizi untuk keluarga.
Ahli Parlimen Karupaiya Mutusami (PH - Padang Serai) mohon Menteri
mengawal harga barang dan mahu tahu apakah kerajaan akan memperuntukkan lebih
banyak subsidi bagi mengelakkan peningkatan harga yang parah.
"Menteri, barang semua sudah naik. Ikan kering pun naik. Itu
makanan orang kampung. Kita rasa sedih betul.
"Boleh tak kerajaan nyatakan dengan jelas berapakah subsidi
yang kerajaan tanggung bagi barang keperluan asas dan adakah kerajaan bercadang
untuk meningkatkan subsidi dalam mengawal inflasi?
"Tolong kawal harga, Menteri," katanya dalam sesi soalan
tambahan di Dewan Rakyat pagi tadi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna,
Datuk Rosol Wahid menjawab, masalah inflasi bukan sahaja dirasai di Malaysia
tetapi merupakan masalah yang sedang dihadapi di seluruh dunia.
"Kita akui masalah pandemik, masalah peperangan, isu kenaikan
harga barang ini adalah isu global
"Cuma data tidak ada (subsidi barang asas) kerana soalan
ditanya itu di luar soalan asal dari apa yang ditanya tadi.
"Namun subsidi yang diberi kerajaan untuk minyak masak 1, 3
dan 5 kg sehingga Jun 2022, kerajaan telah memberi peruntukan sebanyak RM382 juta
untuk 11 bulan. Ini untuk minyak sahaja," katanya.