MOHSIN ABDULLAH
Kata Ahli MKT Umno, Puad Zarkashi, Bersatu sokong Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri “demi jawatan timbalan perdana menteri – bukan rakyat”.
Benar atau tidak, waullahualam. Setuju atau tidak, terpulang. Cuma saya berpendapat agak naif Puad berkata demikian kerana apabila sesuatu urusan atau “deal” dibincangkan (tak kiralah pasal apa) tentu ada tuntutan, tawar-menawar, dan segala macam.
Oleh itu, jika benar ada “deal” antara Naib Presiden Umno, Ismail, dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, perjanjian ‘kamu dapat apa dan kami dapat apa’ pasti dijalin. Bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Apatah lagi dalam konteks Ismail–Muhyiddin, bukanlah rahsia besar bahawa naib presiden Umno itu memerlukan sokongan Bersatu untuk duduk kerusi perdana menteri. Ironinya setelah Muhyiddin sendiri lepaskan jawatan itu. Agak logik jika Muhyiddin menuntut hadiah lumayan dalam bentuk jawatan timbalan perdana menteri untuk “orangnya”.
Namun bagi Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, tidak ada perjanjian antara Ismail dengan Bersatu/Perikatan Nasional (baca Muhyiddin) untuk melantik timbalan perdana menteri sebelum Ismail dilantik perdana menteri pada Ogos lalu.
Kata beliau lagi, pelantikan jawatan timbalan perdana menteri juga “tidak pernah dibincang dengan mana-mana pihak termasuk PAS dalam PN”. Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, pula mendakwa perkara itu ada dibincangkan tetapi tidak ada keputusan.
Kenyataan Sharil memberi gambaran bahawa beliau mendakwa tahu dan maklum apa jua perkembangan membabitkan Ismail. Tidakkah terfikir ada kemungkinan Ismail tidak mahu atau tidak perlu memaklumkan setiap langkahnya kepada setiap orang Umno termasuk ketua penerangan?
Malah, apakah mungkin kepimpinan tertinggi Umno sendiri turut dipinggirkan? Selaku perdana menteri, rasanya Ismail berhak pilih apa yang beliau mahu beritahu sesuatu dan kepada siapa. Tidak begitu?
Muncul pula Wan Saiful Wan Jan. Ketua penerangan Bersatu itu mendakwa Annuar Musa (orang Umno) “saksi hidup” bahawa memang ada perjanjian yang dimeterai antara Ismail dan Bersatu. Belum ada respon Annuar sehingga kini.
Tetapi beberapa laman berita memetik seorang pegawai Muhyiddin mendakwa perjanjian untuk Ismail melantik seorang timbalan perdana menteri daripada Bersatu “disaksikan seorang menteri Umno dan seorang menteri Bersatu”.
Menurut Marzuki Mohamad, yang berkhidmat sebagai ketua setiausaha sulit kanan semasa Muhyiddin jadi perdana menteri, perjanjian ditandatangani Ismail dengan Muhyiddin pada 17 Ogos 2021 tetapi sudah dipersetujui bahawa perjanjian itu tidak boleh diterbitkan. Ertinya tidak boleh ditunjukkan kepada umum. Pelik tapi benar.
Marzuki mendakwa sebagai pegawai perdana menteri ke-8 pada waktu itu, beliau terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian berkenaan.
Semua kekalutan ini timbul apabila Muhyiddin mendedahkan beliau sudah berjumpa Ismail baru-baru ini dan berbincang mengenai jawatan timbalan perdana menteri. Kenapa Muhyiddin mahu bangkitkan janji mengenai kerusi TPM menjadi tanda tanya ketika ini, semasa rakyat terpalit dengan 1001 musibah masalah sara hidup dan kos barangan melambung.
Perlu diingat semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri pada 2020, beliau tidak melantik timbalan perdana menteri. Sebaliknya Muhyiddin ketika memperkenalkan anggota Kabinetnya mengumumkan pelantikan empat menteri kanan, termasuk Ismail.
Tidak mengisi jawatan timbalan perdana menteri dan melantik empat menteri kanan yang statusnya sama rata dilihat sebagai langkah Muhyiddin ‘jaga hati’ dan elak parti komponen kerajaan PN bermasam muka. Ertinya Muhyiddin bimbang ada pihak yang berkecil hati akan “buat benda yang bukan-bukan” jika wakil parti mereka tidak dipilih sebagai timbalan perdana menteri.
Ada juga pemerhati politik beranggapan langkah itu untuk menyelamatkan Muhyiddin kerana, kata mereka, Muhyiddin akan duduk selesa sebagai perdana menteri tanpa timbalan yang mungkin boleh menggugat kedudukannya. Jawatan timbalan perdana menteri sebenarnya tidak terkandung dalam Bab 3 Badan Eksekutif Perkara 42 Jemaah Menteri dalam Perlembagaan. Jawatan ini dilantik secara konvensyen sahaja.
Walaupun ia jawatan politik kedua tertinggi kerajaan, penyandang jawatan tidak semestinya atau terjamin akan diangkat sebagai pengganti jika perdana menteri letak jawatan atau sesuatu berlaku kepadanya. Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim – ketiga-tiga pernah jadi timbalan kepada Mahathir Mohamad selaku perdana menteri era BN tetapi tidak kesampaian jadi perdana menteri.
Pada pemerintahan Pakatan Harapan, apabila Mahathir letak jawatan perdana menteri, timbalan beliau, Wan Azizah Wan Ismail juga tidak ambil alih, malah kerajaan PH tumbang. Presiden Umno, Zahid Hamidi, juga pernah duduk jawatan timbalan tetapi BN jatuh pada PRU14 2018. Peluangnya jadi perdana menteri sekaligus terkubur.
Berbalik isu Muhyiddin semasa jadi perdana menteri. Apabila kerajaannya mula goyang tidak lama setelah ditubuhkan, beliau mengangkat Ismail sebagai timbalan perdana menteri pada 2021. Ini dikatakan memastikan sokongan berterusan Umno. Bagaimanapun taktik itu tidak menjadi. Akhirnya Muhyiddin digulingkan oleh gerakan yang diterajui sekumpulan Ahli Parlimen Umno dan Ismail jadi perdana menteri. Ahli Parlimen Bera itu ikut langkah awal Muhyiddin dengan tidak menamakan timbalan perdana menteri.
Sebaliknya, seperti Muhyiddin, beliau turut melantik menteri kanan – juga empat orang. Langkah ini untuk juga ambil hati semua pihak dalam kerajaan Keluarga Malaysia. Sehingga artikel ini ditulis Ismail belum memberi sebarang komen berhubung isu timbalan perdana menteri yang sedang diperkatakan ramai.
Hakikatnya rakyat tidak ambil peduli, menteri kanan ke, kiri, tengah, menteri yang perdana kedudukannya, mahupun menteri yang timbalan perdana. Yang rakyat mahu menteri yang jujur, dedikasi, komited, bijak, serta cekap menjalankan tugas demi kecemerlangan negara dan kemakmuran rakyat. Oh, dan juga menteri bersih. Boleh?
Rakyat mahu menteri “berkorban apa sahaja – harta atau pun nyawa. Itulah kasih mesra sejati dan sejiwa”. Sekadar pinjam lirik lagu nyanyian P Ramlee dalam filem Hang Tuah terbitan 1956.