Tun tolak Anwar, DAP tolak kerjasama dengan Pejuang
Sikap Pengerusi Perjuang, Tun Mahathir Mohamad yang menyalahkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya penyebab beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri (PM) hingga kini tidak boleh diterima oleh pemimpin PH.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata, tiada rundingan dengan Pejuang sekiranya parti itu enggan menerima Anwar sebagai pemimpin tertinggi PH.
“Pimpinan PH sekarang ialah Anwar, kami bersedia untuk bekerjasama dengan Mahathir, tapi dia tolak kerjasama dengan PH disebabkan Anwar pengerusi (PH), jadi tak perlu kerjasama lagi. Begitu…mudah sahaja,” katanya dipetik.
Guan Eng juga menolak dakwaan Mahathir kononnya kejatuhan kerajaan PH akibat penyokong Anwar yang tidak sabar pemimpin mereka diangkat sebagai PM.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, punca kejatuhan PH adalah pengkhianatan Langkah Sheraton dan bukannya datang dari Anwar.
“Punca utama kejatuhan disebabkan Langkah Sheraton dengan dalang utamanya adalah (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.
“Dia sepatutnya salahkan pengkhianat tersebut, bukan salahkan orang yang berpegang teguh pada jawatan partinya,” kata Guan Eng lagi.
Sebelum ini, dalam temuramah Tun Mahathir dengan Utusan Malaysia, beliau menyalahkan Anwar sebagai punca kegagalannya untuk menjadi PM buat kali keempat, selepas meletak jawatan tanpa berbincang dengan PH pada Februari 2020.